AI semakin penting dalam dunia pekerjaan

Facebook
WhatsApp
JOHNNY Pang Leong Ming merasmikan Kursus AI di Tempat Kerja – Menggunakan AI dengan Cara yang Betul untuk Hasil yang Lebih Baik di Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Bintulu (BCCCI), Bintulu, semalam.

BINTULU: Penguasaan kecerdasan buatan (AI) perlu dilihat sebagai satu kemahiran penting dalam dunia pekerjaan yang semakin dipengaruhi perkembangan teknologi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, masyarakat tidak seharusnya melihat AI semata-mata sebagai teknologi yang berpotensi menggantikan pekerjaan, sebaliknya memanfaatkannya sebagai alat untuk meningkatkan kecekapan dalam melaksanakan tugasan.

Menurutnya, perubahan teknologi yang begitu pantas menuntut setiap individu untuk terus belajar dan menyesuaikan diri dengan keperluan semasa.

JOHNNY Pang Leong Ming berucap pada majlis penutupan Kursus AI di Tempat Kerja – Menggunakan AI dengan Cara yang Betul untuk Hasil yang Lebih Baik di BCCCI, Bintulu, semalam.

“Daripada bimbang AI akan menggantikan pekerjaan kita, kita seharusnya memikirkan sama ada kita sudah mengikuti perkembangan apabila orang di sekeliling kita mula menggunakan AI.

“AI boleh membantu meningkatkan kecekapan, tetapi ia tidak boleh menggantikan pertimbangan manusia,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan Kursus AI di Tempat Kerja – Menggunakan AI dengan Cara yang Betul untuk Hasil yang Lebih Baik di Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Bintulu (BCCCI) semalam.

Beliau berkata, teknologi itu boleh dimanfaatkan dalam pelbagai bidang termasuk pentadbiran, perniagaan, pemasaran dan pengurusan bagi membantu menyusun maklumat, menyediakan dokumen, menganalisis data serta menjana idea.

Bagaimanapun katanya, penggunaan AI perlu dilakukan secara bertanggungjawab kerana maklumat yang dihasilkan teknologi berkenaan masih memerlukan semakan dan pertimbangan manusia.

JOHNNY Pang Leong Ming menyampaikan sijil kepada salah seorang peserta pada majlis penutupan Kursus AI di Tempat Kerja – Menggunakan AI dengan Cara yang Betul untuk Hasil yang Lebih Baik di Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Bintulu (BCCCI), Bintulu, semalam.

“Semakin mudah AI digunakan, semakin penting keupayaan kita untuk berfikir, menilai maklumat dan membuat keputusan yang tepat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan peserta kursus mengenal pasti tugasan harian yang berulang atau mengambil masa yang panjang dan menerapkan pengetahuan yang diperoleh bagi mencari kaedah kerja yang lebih cekap.

Dalam pada itu, Presiden BCCCI, Kong Chiong Ung berkata, pendedahan mengenai penggunaan AI mampu membantu komuniti perniagaan memahami potensi teknologi tersebut dalam meningkatkan produktiviti.

Katanya, penggunaan AI tidak lagi terhad kepada bidang teknologi maklumat kerana pelbagai sektor boleh memanfaatkan teknologi berkenaan mengikut keperluan masing-masing.

Kursus selama empat jam itu dianjurkan dengan sokongan Persatuan Kebajikan Pengguna Sarawak dan kerjasama BCCCI, dengan penyertaan 50 peserta.

Kursus berkenaan dikendalikan jurulatih Zheng Ming Ye yang merupakan profesional AI bertauliah Google, pengamal AI OpenAI Academy dan jurulatih bertauliah HRD Corp.

Oleh Carolyne Utih