Eksklusif: Kejujuran dan kesanggupan politik Kerajaan Persekutuan penentu komitmen – Abdullah Saidol

Facebook
WhatsApp
DATUK Abdullah Saidol

SIBU: Kepimpinan Sarawak yang diketuai Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg kekal konsisten dalam mempertahankan hak dan kepentingan wilayah itu.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol berkata, beberapa permohonan besar Sarawak kepada Kerajaan Persekutuan telah berjaya ditunaikan, termasuk pengambilalihan semula aset strategik seperti Empangan Bakun dan Pelabuhan Bintulu.

Menurutnya, pengambilalihan aset berkenaan dijangka memberi kesan positif terhadap kedudukan kewangan serta pendapatan Sarawak dalam jangka panjang.

“Saya yakin formula bayaran interim yang dikemukakan oleh Sarawak adalah berdasarkan keperluan untuk mempastikan usaha melaksanakan pembangunan Sarawak tidak terjejas, tetapi Sarawak turut mengambil kira kepentingan negara serta kedudukan ekonomi semasa,” katanya ketika dihubungi Utusan Sarawak petang tadi.

Mengulas tuntutan penambahan kerusi Parlimen bagi Sarawak dan Sabah, Abdullah Saidol yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop berkata, beliau yakin Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui tuntutan kedua-dua wilayah itu adalah berasas.

Bagaimanapun, katanya, hak Sarawak dan Sabah tidak seharusnya terhad kepada kuota satu pertiga kerusi sebagai blok Borneo semata-mata.

Sebaliknya, katanya, kedudukan Sarawak dan Sabah sebagai rakan seimbang dalam pembentukan Malaysia mesti dihormati dengan jumlah wakil di Parlimen mesti selaras dengan kedudukan kedua-dua wilayah tersebut di Bornoe.

“Ya, saya setuju bahawa rundingan dan tuntutan untuk menambah wakil atau kerusi tambahan daripada Sabah dan Sarawak di Parlimen bukan sesuatu yang mudah.

“Ia kerana perkara ini berkait dengan prinsip ‘constitutional safeguard’ atau perlindungan perlembagaan bagi mempertahankan kedudukan dan kedaulatan wilayah Sabah dan Sarawak dalam Perjanjian Malaysia,” katanya.

Mengenai kedua-dua perkara tersebut, katanya lagi, persoalan yang menjadi kecurigaan ramai ialah sama ada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan Kerajaan Persekutuan mempunyai kekuatan politik (political will) untuk menunai dan melaksanakan janji dan komitmen mereka.

Oleh Akun Giman