SIBU: Sarawak dan Sabah wajar diberi pertimbangan sewajarnya untuk menambah kerusi Parlimen bagi memastikan perwakilan kedua-dua wilayah itu mencapai sekurang-kurangnya satu pertiga daripada keseluruhan 222 kerusi Parlimen.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr Safiee Ahmad berkata, tuntutan berkenaan merupakan antara isu yang diperjuangkan dalam konteks Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), khususnya bagi mengembalikan kedudukan perwakilan Sabah dan Sarawak seperti asas pembentukan Malaysia.
Menurutnya, ketika ini Sabah dan Sarawak hanya mempunyai 56 daripada 222 kerusi Parlimen, sekali gus masih kurang 18 kerusi untuk mencapai nisbah satu pertiga atau 74 kerusi.
“Kalau kita mengambil kira jumlah sedia ada sebanyak 222 kerusi Parlimen, jauh daripada nisbah satu pertiga atau 74 kerusi.
“Ini bermakna pertambahan kerusi bagi Sarawak dan Sabah perlu diberi pertimbangan sewajarnya,” ujarnya ketika dihubungi Utusan Sarawak petang ini.
Menurut Dr Safiee, prinsip satu pertiga itu juga merupakan satu bentuk perlindungan perlembagaan (constitutional safeguard) bagi memastikan hak dan kepentingan Sabah serta Sarawak terus terpelihara.
“Dalam konteks ini, kita dapat melihat bahawa terdapat pindaan terhadap Perlembagaan yang dilaksanakan sebelum ini yang secara tidak langsung telah menghakis sebahagian hak Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi dalam pembentukan Malaysia.
“Justeru, keperluan untuk mengembalikan perwakilan yang sewajarnya bukan semata-mata soal keadilan, tetapi juga sebagai tanda penghormatan terhadap asas pembentukan Malaysia selaras dengan semangat MA63,” katanya.
Dr Safiee berkata, sejarah pembentukan Malaysia turut perlu dilihat dalam konteks asal pembahagian kerusi Parlimen, termasuk kedudukan Singapura yang ketika itu merupakan sebahagian daripada Malaysia.
Katanya, selepas Singapura tidak lagi menjadi sebahagian daripada Malaysia, kedudukan kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak wajar dikaji semula di mana kerusi Parlimen Singapura tersebut sepatutnya diperuntukan kepada Sarawak dan Sabah bagi memastikan nisbah perwakilan kedua-dua wilayah itu mencerminkan kedudukan mereka sebagai rakan kongsi dalam pembentukan Malaysia.
“Dalam konteks ini, penambahan kerusi Parlimen bukan sahaja memenuhi tuntutan keadilan, tetapi juga merupakan satu bentuk pengiktirafan terhadap peranan Sabah dan Sarawak dalam pembentukan Malaysia selaras dengan MA63.
“Justeru, kajian mengenai pertambahan kerusi Parlimen perlu mempertimbangkan jumlah yang sewajarnya bagi Sarawak dan Sabah, dengan sasaran utama memastikan kedua-dua wilayah mempunyai tidak kurang daripada satu pertiga daripada keseluruhan kerusi Parlimen,” katanya.
Oleh Akun Giman





