LAWAS: Jumlah kerugian akibat kes penipuan di Lawas mencecah RM6 juta sepanjang tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata, jumlah tersebut menunjukkan peningkatan ketara dan memerlukan kerjasama semua pihak untuk meningkatkan kesedaran bagi mengelak menjadi mangsa sindiket penipuan.
“Kita rasa terkejut kerana di Lawas ini pun sampai mencecah RM6 juta jumlah kerugian akibat daripada penipuan scammer sehingga Ogos tahun ini seperti mana yang telah dimaklumkan oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial.
“Jadi kita menasihatkan orang ramai, sebelum apa-apa tindakan diambil, cuba dapatkan nasihat dulu khususnya daripada pihak berkuasa, polis khususnya di daerah Lawas ini dan mereka akan sentiasa membantu.
“Dan sekiranya kita telah pun tertipu, dalam tempoh 24 jam itu kita perlu melaporkan kepada 997 — bukan 994, 4 itu bomba kan, 997 — iaitu kita ada NSRC yang boleh membantu kita. Apa juga jenayah yang melibatkan dalam talian ini akan dapat dibantu menggunakan talian 997,” katanya ketika ditemui media selepas Program Sesi Dialog (Town Hall Discussion) Siri 2/2026 Polis Diraja Malaysia Kontinjen Sarawak di Daerah Lawas di Hotel Seri Malaysia Lawas pada Sabtu.
Beliau turut menjelaskan jumlah tangkapan kes dadah di Sarawak, termasuk di Lawas, menunjukkan peningkatan ketara dengan memastikan tangkapan dilakukan setiap hari.
Dengan pelaksanaan operasi tangkapan tersebut, katanya, jenayah dadah akan dapat dibanteras sekali gus mengurangkan kes jenayah lain di Sarawak.
Tegasnya, tuduhan liar di media sosial berhubung masalah dadah di Lawas seolah-olah serius hendaklah dibuat berdasarkan fakta dan bukan sentimen politik.
Katanya, operasi menggempur kegiatan dadah, menangkap serta membawa pesalah ke muka pengadilan akan diteruskan setiap hari bagi mengelak masalah tersebut terus berleluasa.




