Sarawak pertahan hak minyak dan gas, bukan cuba lemahkan Petronas –  Ahmad Ibrahim

Facebook
WhatsApp
SENATOR Dato' Ahmad Ibrahim.

KUCHING: Sarawak melalui Petros bukan berusaha melemahkan Petronas, sebaliknya mempertahankan serta mengembalikan hak negeri itu terhadap sumber minyak dan gas yang telah wujud sebelum penubuhan Petronas.

Ahli Dewan Negara, Senator Dato’ Ahmad Ibrahim berkata, sejarah industri petroleum di Sarawak perlu dilihat berdasarkan fakta bahawa pengeluaran minyak di Miri bermula pada 1910, lebih lima dekad sebelum pembentukan Malaysia pada 1963.

“Petronas pula hanya ditubuhkan pada 1974, manakala Sarawak telah mempunyai rangka perundangan dan kawal selia sendiri berkaitan petroleum, termasuk Ordinan Perlombongan Minyak 1958.

“Petronas datang ke dalam kewujudan ketika Sarawak telah menjadi wilayah pengeluar minyak selama lebih enam dekad,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Sarawak membawa wilayah, sumber asli, undang-undang sedia ada serta industri petroleum yang telah berkembang ketika menyertai Malaysia pada 1963.

“Usaha Sarawak mendapatkan peranan lebih besar dalam industri minyak dan gas menerusi Petros tidak wajar dilihat sebagai usaha untuk melemahkan Petronas, sebaliknya bertujuan mewujudkan keseimbangan dalam pengagihan manfaat ekonomi.

“Kepentingan nasional tidak seharusnya ditafsirkan sebagai semua kelebihan komersial perlu kekal berpusat kepada Petronas kerana kepentingan rakyat Sarawak juga merupakan sebahagian daripada kepentingan Malaysia.

“Wang yang dikekalkan untuk pembangunan Sarawak bukan wang yang hilang kepada Malaysia,” jelasnya.

Beliau turut menegaskan bahawa Sarawak tidak pernah meminta Petronas dibubarkan atau dihalang daripada terus berkembang sebagai institusi nasional yang penting.

“Petronas yang kukuh dan Petros yang kukuh boleh wujud bersama, terutama selepas Deklarasi Bersama Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sarawak pada 21 Mei 2025 yang mengiktiraf Petros sebagai agregator gas Sarawak berkuat kuasa 1 Mac 2025.

“Peranan Petros sebagai agregator gas di Sarawak tidak bermaksud Petronas perlu meninggalkan Sarawak atau terjejas operasi antarabangsanya.

“Sebaliknya, peranan itu memberi Sarawak ruang lebih besar untuk menentukan bagaimana gas dari Sarawak dapat dimanfaatkan bagi menjana elektrik, membangunkan industri hiliran, menarik pelaburan dan mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran,” tambahnya.

Ahmad berkata, persoalan undang-undang berkaitan Akta Kemajuan Petroleum 1974, Ordinan Perlombongan Minyak 1958 dan Ordinan Pengagihan Gas dan Perlembagaan Persekutuan perlu diselesaikan melalui proses perlembagaan, rundingan dan mahkamah jika perlu.

“Matlamatnya haruslah kerjasama berasaskan keadilan, keluhuran perlembagaan, saling menghormati dan federalisme sebenar,” ujarnya.

Beliau menegaskan, Sarawak tidak meminta mengambil hak pihak lain, sebaliknya mempertahankan hak yang menurutnya telah dimiliki negeri itu sejak sebelum kewujudan Petronas, sambil kekal komited terhadap Malaysia yang kukuh dan makmur.

Untuk rekod, kenyataan itu menyusuli satu kenyataan bekas Menteri Undang-Undang, Datuk Zaid Ibrahim semalam, yang berpandangan tuntutan hak Sarawak tidak seharusnya menjadi alasan untuk melemahkan Petronas serta menegaskan kepentingan keselamatan tenaga negara perlu dipelihara.

Zaid turut mengingatkan bahawa sebarang perubahan terhadap susunan industri minyak dan gas negara perlu mengambil kira peranan Petronas sebagai syarikat petroleum nasional serta kepentingannya terhadap keselamatan tenaga Malaysia. 

Oleh Masrin Affirah