SARATOK: Isu bekalan air di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka turut memerlukan perhatian serius susulan musim kemarau berpanjangan serta keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, beberapa kawasan di Kalaka mengalami gangguan bekalan air berikutan kapasiti sumber air mentah yang terhad untuk menyokong operasi loji rawatan air.
Menurutnya, keadaan itu turut memberi kesan kepada operasi loji rawatan air yang membekalkan air kepada penduduk di beberapa kawasan sekitar Saratok dan Roban.
“Isu bekalan air turut memerlukan perhatian, terutama susulan musim kemarau panjang dan keadaan cuaca yang tidak menentu,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, paras sumber air mentah yang rendah menyebabkan kapasiti pengeluaran air terawat terjejas, sekali gus memberi tekanan kepada sistem bekalan air di kawasan terbabit.
Sehubungan itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Betong telah mengadakan perbincangan bersama agensi berkaitan bagi menyelaras tindakan serta bantuan kepada penduduk yang terjejas.
Mohamad Duri berkata, semua tuai rumah, ketua kampung dan ketua kaum telah dimaklumkan supaya kawasan yang mengalami gangguan bekalan air dapat dikenal pasti, disenaraikan dan dijadualkan untuk menerima bantuan.
Katanya, kerjasama antara Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB), Pejabat Daerah dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedang dilaksanakan bagi memastikan keperluan asas penduduk terus diberi perhatian.
“Bekalan air minuman dan air mineral turut disalurkan kepada penduduk yang memerlukan, manakala penghantaran air menggunakan lori tangki akan dilaksanakan ke kawasan yang mengalami gangguan bekalan,” katanya.
Menurut beliau, keadaan di sesetengah kawasan menjadi lebih mencabar apabila tekanan air terlalu rendah, malah terdapat kawasan yang masih mempunyai paip tetapi tidak menerima bekalan air yang mencukupi untuk kegunaan harian.
“Walaupun ada paip tetapi tiada air dalam paip, pihak JKM akan menghantar air minuman untuk membantu dalam keadaan yang terdesak,” katanya.
Mohamad Duri berkata, bekalan air minuman akan dihantar dalam kuantiti lebih banyak bagi memastikan penduduk mempunyai bekalan mencukupi sepanjang tempoh kemarau, terutama bagi kegunaan asas seperti minuman dan memasak.
Beliau berharap hujan yang mula turun di beberapa kawasan dapat membantu meningkatkan semula paras sumber air dan seterusnya memulihkan keadaan bekalan air secara berperingkat.
“Penduduk dinasihatkan menggunakan air secara berhemat dan menyimpan bekalan secukupnya,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamad Duri turut mengingatkan masyarakat di DUN Kalaka supaya mengambil langkah berjaga-jaga susulan keadaan jerebu, khususnya menjaga kesihatan ketika kualiti udara terjejas.
Beliau menasihatkan orang ramai menggunakan pelitup muka ketika berada di luar, manakala warga emas serta individu yang mempunyai masalah seperti asma dan resdung diminta lebih berhati-hati serta mengelakkan berada terlalu lama di kawasan terbuka.
Oleh Adi Safarman



