Jalan ladang 1.4 KM siap, penduduk Sungai Rian kini lebih mudah ke kebun

Facebook
WhatsApp
PROJEK naik taraf jalan ladang sepanjang 1.4 kilometer menerusi peruntukan BDDA di Sungai Rian, Anyut telah siap sepenuhnya. Foto: Douglas Uggah Embas Official

SPAOH: Penduduk Rumah Panjang Sungai Rian, Anyut kini menikmati akses lebih baik ke kawasan pertanian susulan siapnya projek naik taraf jalan ladang sepanjang 1.4 kilometer menerusi peruntukan Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA).

Projek berkenaan bukan sahaja memudahkan pergerakan penduduk ke kebun, malah membantu melancarkan urusan membawa masuk keperluan pertanian dan mengangkut hasil keluar untuk dipasarkan.

Kemudahan itu sekali gus memberi manfaat langsung kepada komuniti setempat yang bergantung kepada sektor pertanian sebagai antara sumber pendapatan utama.

Projek yang dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Betong itu turut berjaya disiapkan lebih awal daripada jadual, selain memenuhi spesifikasi dan piawaian ditetapkan.

Sesi serah siap projek yang berlangsung hari ini dihadiri wakil Pejabat Daerah Betong, Kato Dorsie; wakil BDDA, Jordan Evin; wakil JKR Bahagian Betong; wakil Pusat Khidmat ADUN Bukit Saban serta wakil kontraktor RGR Enterprise.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, penyediaan dan penambahbaikan jalan ladang merupakan antara usaha kerajaan dalam menyokong penduduk yang bergantung kepada kegiatan pertanian.

“Bila laluan ke kebun lebih mudah digunakan, penduduk dapat menguruskan kerja mereka dengan lebih baik. Ini termasuk membawa masuk keperluan dan mengeluarkan hasil tanpa terlalu banyak kesukaran,” katanya.

Uggah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban berkata, kemudahan yang disediakan perlu dimanfaatkan sepenuhnya agar pelaburan pembangunan kerajaan terus memberi impak kepada masyarakat.

“Kita sudah sediakan kemudahan, jadi saya berharap penduduk dapat menggunakannya dengan sebaik mungkin.

“Yang penting, jalan ini membantu mereka terus aktif dalam pertanian dan meningkatkan sumber pendapatan,” katanya.

Sementara itu, Tuai Rumah Sungai Rian, Palima Nagdan menyatakan kepuasan terhadap hasil serta kualiti kerja projek berkenaan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Uggah dan kerajaan Sarawak atas kelulusan peruntukan BDDA yang membolehkan projek berkenaan direalisasikan.

Dengan siapnya jalan ladang tersebut, penduduk Sungai Rian kini dapat menikmati perjalanan yang lebih mudah dan selesa ke kawasan pertanian, sekali gus membantu mempercepatkan pengurusan kebun serta pengangkutan hasil.

Kemudahan berkenaan dijangka terus menjadi pemangkin kepada aktiviti ekonomi setempat, khususnya dalam memperkukuh sektor pertanian dan meningkatkan kesejahteraan komuniti.

Oleh Adi Safarman