BEKENU: Seramai 845 peserta di kawasan Parlimen P218 Sibuti berjaya memperoleh Lesen Memandu Kelas B2 menerusi Program Bantuan Lesen Memandu Kelas B2 Tahun 2026.Kesemua peserta berjaya mendapatkan lesen berkenaan selepas melepasi tapisan serta ujian yang dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Timbalan Menteri Luar Negeri yang juga Ahli Parlimen Sibuti Dato Lukanisman Awang Sauni berkata demikian dalam ucapan aluan pada Program Bantuan Lesen B2 di sini hari ini.
Katanya, program berkenaan merupakan inisiatif kerajaan bagi membantu golongan sasaran dan berpendapatan rendah mendapatkan lesen memandu motosikal pada kadar bayaran minimum.
“Selain membuka peluang kepada rakyat memiliki lesen memandu yang sah, program itu turut memberi penekanan terhadap aspek keselamatan jalan raya menerusi latihan dan ujian mengikut piawaian ditetapkan.
“Pelaksanaan program hasil kerjasama strategik JPJ Sarawak, Pusat Khidmat Parlimen P218 Sibuti dan Institut Memandu Hisafe Sdn. Bhd. bagi memastikan kelancaran pelaksanaannya,” katanya.
Tambahnya, JPJ Sarawak turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak serta rakan strategik yang terlibat dalam menjayakan program berkenaan.
“Program seumpama itu diharap dapat diteruskan pada masa hadapan bagi memperkasakan mobiliti rakyat serta menyokong usaha kerajaan meningkatkan kesejahteraan masyarakat,” jelasnya lagi.
Majlis penyerahan program anjuran Parlimen P218 Sibuti itu telah disempurnakan Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah.
Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu Datuk Rosey Yunus, Ketua Pengarah JPJ Malaysia Dato’ Aedy Fadly Ramli, Residen Bahagian Miri Galong Luang.
Oleh Adum Liu





