Bantuan baja perkasa penanam limau Bintangor, tingkat produktiviti

Facebook
WhatsApp
ADUN Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing bergambar bersama penanam limau Bintangor selepas menyampaikan bantuan baja bagi meningkatkan hasil dan produktiviti tanaman berkenaan. Foto Pusat Khidmat Meradong

BINTANGOR: Usaha memperkukuh pengeluaran limau Bintangor terus diberi perhatian menerusi sokongan kepada penanam tempatan bagi membantu meningkatkan hasil dan produktiviti tanaman yang sinonim dengan kawasan Meradong.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, bantuan kepada golongan petani penting bagi memastikan mereka terus berupaya mengusahakan tanaman secara produktif dan menyumbang kepada perkembangan sektor pertanian setempat.

“Penyerahan bantuan baja ini merupakan usaha berterusan untuk menyokong penanam limau Bintangor, khususnya bagi membantu meningkatkan hasil dan produktiviti tanaman tempatan.

“Kita berharap bantuan ini dapat memberi manfaat kepada penanam serta menyumbang kepada perkembangan dan pengukuhan sektor pertanian di kawasan Meradong,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika majlis simbolik penyerahan baja kepada penanam limau Bintangor di sini, semalam.

Ding turut menyampaikan geran khas berjumlah RM1,500 kepada Kelab Pertanian Daerah Meradong sebagai sokongan terhadap usaha memperkasakan komuniti pertanian di daerah itu.

Selain itu, beliau juga mengumumkan sumbangan tambahan sebanyak RM3,000 kepada kelab tersebut bagi membantu pelaksanaan aktiviti tahunannya sepanjang 2026.

“Sokongan ini mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkasakan komuniti pertanian tempatan dan menggalakkan pelaksanaan aktiviti yang memberi manfaat kepada para petani dan masyarakat setempat,” katanya.

Tambahnya, penglibatan aktif pertubuhan pertanian di peringkat tempatan juga penting dalam menghimpunkan petani dan menyediakan ruang untuk pelaksanaan program yang dapat menyokong pembangunan sektor tersebut.

Turut hadir ialah Penolong Pegawai Daerah Meradong Sonia Hii,  Pegawai Pertanian Daerah Meradong  Emparie Randi dan Pegawai Pertanian Pembangunan di Pejabat Pertanian Bahagian Sarikei, Siti Khadijah Ibrahim.

Oleh Earl Anek