SARIKEI: Keperluan memastikan bekalan darah hospital sentiasa mencukupi memerlukan sokongan berterusan daripada masyarakat, terutama bagi membantu pesakit yang memerlukan pemindahan darah dalam situasi kecemasan.
Pengerusi Persatuan Pemuliharaan Hayat Sarikei, Wong Ching Ngie berkata, atas kesedaran itu, pihaknya dengan kerjasama Persatuan Kwang Wai Siew Sarikei akan menganjurkan Kempen Derma Darah Kali Ke-3 bagi 2026 dan Kempen Kesedaran Derma Organ, esok.
“Program kemasyarakatan ini akan berlangsung dari 8.00 pagi hingga 1.00 petang di Restoran New Fortuna.
“Kami menyeru orang ramai daripada pelbagai lapisan masyarakat agar tampil menjayakan kempen ini,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, penyertaan masyarakat amat penting kerana setiap sumbangan darah mampu membantu memastikan bekalan tabung darah hospital sentiasa mencukupi, khususnya untuk kegunaan pesakit yang memerlukan pemindahan darah segera.
Pada masa sama, penganjuran Kempen Kesedaran Derma Organ bertujuan meningkatkan pemahaman masyarakat mengenai kepentingan pendermaan organ sebagai salah satu bentuk sumbangan kemanusiaan.
Tambahnya, kempen derma darah tersebut terbuka kepada individu berumur antara 18 hingga 60 tahun, termasuk mereka yang belum pernah menderma darah atau tidak melakukan pendermaan dalam tempoh tiga bulan terakhir.
“Penderma diminta membawa buku rekod derma darah atau kad pengenalan bagi memudahkan urusan pendaftaran pada hari program.
“Sebagai tanda penghargaan, setiap penderma yang berjaya akan menerima satu pek beras wangi seberat satu kilogram tajaan Liansin Trading Sdn Bhd serta satu set telur,” katanya.
Wong berharap orang ramai dapat meluangkan masa untuk menyertai kempen tersebut, sekali gus menyokong usaha kemasyarakatan yang memberi manfaat secara langsung kepada golongan yang memerlukan.
Oleh Earl Anek





