Kemas kini: Polis kesan kenderaan terlibat kemalangan maut di Kampung Bidi, Bau

Facebook
WhatsApp
LOKASI KEMALANGAN...Keadaan di lokasi kemalangan maut di Jalan Bau–Bidi Krokong berhampiran Kampung Bidi, Bau, awal pagi tadi.

BAU: Polis Daerah Bau sedang mengesan sebuah kenderaan yang dipercayai terlibat dalam kemalangan maut di Jalan Bau–Bidi Krokong berhampiran Kampung Bidi, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Bau, Supt Mohd Haide A Rahman, berkata kejadian berlaku kira-kira 5.45 pagi apabila seorang penunggang motosikal lelaki berusia 61 tahun dipercayai cuba mengelak sebatang pokok tumbang yang menghalang laluan sebelum dilanggar sebuah kenderaan dari arah bertentangan.

“Penunggang motosikal berkenaan mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Pemandu serta kenderaan yang terlibat dipercayai telah meninggalkan lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hasil pemeriksaan di lokasi kejadian turut menemukan kesan heretan dan serpihan kenderaan.

Usaha mengesan pemandu serta kenderaan terbabit sedang dijalankan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai sebarang maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Bau atau mana-mana balai polis berhampiran.

Polis turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih sementara siasatan masih dijalankan.

Oleh Connie Chieng