BAU: Seorang lelaki berusia 61 tahun maut selepas motosikal yang ditunggangnya dipercayai dilanggar sebuah kenderaan dalam kejadian disyaki langgar lari di Jalan Bau-Bidi Krokong, berhampiran Kampung Bidi, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Bau, Supt Mohd Haide A Rahman, berkata pihak polis menerima maklumat mengenai kemalangan itu kira-kira 5.45 pagi menerusi sistem kecemasan MERS 999.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa seorang tukang kimpal, sedang menunggang motosikal Yamaha Y15ZR bernombor pendaftaran dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Kuching apabila berdepan dengan sebatang pokok tumbang yang menghalang laluan.
“Semasa cuba mengelak pokok tumbang berkenaan, mangsa dipercayai memasuki lorong bertentangan. Sebuah kenderaan yang datang dari arah hadapan kemudian melanggar mangsa dan mengheretnya sejauh kira-kira 35 meter,” katanya.
Menurutnya, kenderaan yang melanggar mangsa dipercayai melarikan diri dari tempat kejadian.
Penolong Pegawai Perubatan dari Hospital Bau yang tiba di lokasi mengesahkan mangsa meninggal dunia kira-kira 6.02 pagi.
Mayat mangsa dihantar ke Bilik Mayat Hospital Bau untuk tindakan lanjut, manakala bedah siasat dijadualkan pada 12 September.
Haide berkata, pemeriksaan di lokasi mendapati terdapat kesan heretan pada permukaan jalan serta beberapa serpihan yang dipercayai daripada mudguard kenderaan yang melanggar mangsa.
“Permukaan jalan adalah kering dan tiada lampu jalan atau kemudahan kamera litar tertutup (CCTV)yang menghala ke lokasi kemalangan,” katanya.
Beliau berkata, polis kini berusaha mengesan kenderaan yang disyaki terlibat selain mengenal pasti saksi yang mungkin melihat kejadian itu.
Motosikal mangsa turut ditahan untuk pemeriksaan oleh Puspakom dan Jabatan Kimia.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Oleh Connie Chieng




