DEBAK: Kehadiran seekor ular sawa batik sepanjang kira-kira 1.8 meter di dalam sebuah rumah di Kampung Melayu Dit mencetuskan kebimbangan sebelum berjaya ditangkap Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Debak, semalam.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Debak, Leftenan Muda Mohd Hanif Abdul Aziz, berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada 9.29 malam bagi memohon bantuan menangkap ular berkenaan yang berada di dalam rumah pengadu.
Menurutnya, empat anggota APM menerusi Skuad Charlie segera digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira sembilan kilometer dari pusat operasi.
“Pasukan bergerak ke lokasi pada 9.31 malam dan tiba pada 9.46 malam sebelum terus menyediakan peralatan bagi menjalankan operasi menangkap ular berkenaan.
“Dengan menggunakan teknik menyepit dan menjerut, ular sawa batik sepanjang kira-kira enam kaki itu berjaya ditangkap pada jam 9.53 malam,” katanya dalam satu kenyataan.
Operasi berkenaan melibatkan empat anggota iaitu Sarjan Mohamad Yusuf Laili, Prebet Mohamad Azmil Alisman, Prebet Lester Nyuin dan Prebet Nor Aini Jelani.
Pasukan turut menggunakan sebuah ambulans pacuan empat roda serta peralatan keselamatan dan menangkap ular, termasuk penyepit, penjerut dan cangkuk.
Tindakan pantas pasukan APM bukan sahaja memastikan ular berkenaan berjaya ditangkap dengan selamat, malah membantu mengurangkan risiko kepada penghuni rumah.
Operasi selesai pada 9.53 malam tanpa sebarang kejadian tidak diingini dilaporkan.
Oleh Adi Safarman




