SARATOK: Projek menaik taraf infrastruktur saliran di Skim Penanaman Padi Kampung Kaba di sini dijangka ditender dalam masa terdekat selepas beberapa perkara asas berkaitan reka bentuk, lokaliti dan izin lalu berjaya diselesaikan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, projek berkenaan dilaksanakan di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Bahagian Betong dan merupakan antara projek Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) di kawasan DUN Kalaka.
Menurutnya, perkara tersebut dicapai hasil Sesi Libat Urus Naik Taraf Infrastruktur Saliran di Skim Penanaman Padi Kampung Kaba yang berlangsung semalam.
“Alhamdulillah, beberapa perkara asas bagi tujuan reka bentuk, lokaliti dan izin lalu dapat diselesaikan sebelum projek ini dapat ditender dalam masa yang terdekat.
“Saya amat mengharapkan kerjasama semua pemegang taruh Projek Skim Penanaman Padi ini supaya projek dapat dilaksanakan dengan jayanya,” katanya.
Sesi libat urus itu dipengerusikan Pegawai Daerah Saratok, Muhammad Dino Amid, di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Saratok.
Dalam pada itu, Setiausaha Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Kalaka, Gapor Ahmad, mewakili ADUN Kalaka pada sesi berkenaan.
Mohamad Duri berkata, projek berimpak tinggi itu diharap menjadi projek perintis dalam memperluas kegiatan penanaman padi ke kawasan lain yang berpotensi di sekitar Daerah Saratok.
Antara kawasan yang dikenal pasti termasuk Saratok, Kampung Kupang, Lubok Nibong, Kali Kaba, Kampung Perpat serta Jelupang.
“Usaha menaik taraf sistem saliran bukan sahaja penting bagi menyokong kelancaran aktiviti penanaman padi, malah berpotensi memperkukuh sektor agromakanan dan meningkatkan penggunaan kawasan pertanian secara lebih produktif,” katanya.
Sesi libat urus turut dihadiri urusetia BDDA, Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Betong, Jabatan Pertanian Daerah Saratok serta Ketua Kaum Kampung Kaba, Ahmad Dewi Deli.
Oleh Adi Safarman




