BETONG: Tindakan pantas Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Betong berjaya membantu seorang wanita dewasa yang mengalami kecederaan terseliuh pada kaki kiri di Pejabat Residen Bahagian Betong, hari ini.
Menurut kenyataan media APM Daerah Betong, Bilik Gerakan MERS APM Betong menerima panggilan daripada orang awam pada 10.06 pagi memaklumkan kejadian berkenaan.
Susulan panggilan itu, sepasukan anggota APM segera digerakkan ke lokasi bagi memberikan bantuan dan rawatan awal kepada mangsa.
Pasukan APM tiba di lokasi pada 10.21 pagi dan mendapati mangsa mengalami kecederaan terseliuh pada kaki kiri.
Mangsa diberikan rawatan awal sebelum dibawa menggunakan ambulans APM ke hospital bagi menjalani pemeriksaan dan mendapatkan rawatan perubatan selanjutnya.
Mangsa tiba di hospital pada 10.38 pagi dan tindakan awal terhadap mangsa selesai pada 10.43 pagi.
Operasi tersebut melibatkan kekuatan empat anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) APM dengan menggunakan sebuah ambulans pacuan empat roda APM.
Tindakan pantas itu memperlihatkan komitmen APM Betong dalam memastikan keselamatan serta kebajikan masyarakat sentiasa diberi keutamaan, khususnya ketika berdepan situasi kecemasan.
APM Betong turut menegaskan kesediaannya untuk terus memberikan bantuan kepada masyarakat pada bila-bila masa apabila diperlukan.
Oleh Adi Safarman




