Pondok tempat duduk terbakar di Pasar Simanggang

Facebook
WhatsApp
SEBUAH pondok tempat duduk berangka besi dan kayu terbakar dalam kejadian di sebelah bangunan farmasi, Pasar Simanggang semalam. Foto BBP Sri Aman

SIMANGGANG: Pondok tempat duduk berangka besi dan kayu terbakar dalam kejadian di sebelah bangunan farmasi, Pasar Simanggang, semalam.

Menurut kenyataan media Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 6.52 petang.

Sejurus menerima panggilan, sepasukan anggota bomba diketuai Komander Operasi PBK II Abang Sarkawi Abang Shubeli dikerahkan ke lokasi menggunakan sebuah jentera Bomba dan Penyelamat (FRT) Scania dan sebuah kenderaan Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS).

Setibanya di lokasi, anggota bomba mendapati kebakaran berlaku melibatkan sebuah pondok tempat duduk berangka besi dan kayu dengan keluasan kira-kira 0.9 meter.

ANGGOTA bomba menjalankan operasi pemadaman kebakaran membabitkan sebuah pondok tempat duduk di Pasar Simanggang, semalam. Foto BBP Sri Aman

Bagi memastikan api tidak merebak dan dapat dipadamkan sepenuhnya, anggota bomba yang lengkap dengan peralatan perlindungan diri (PPE) menjalankan penilaian awal sebelum kerja-kerja pemadaman dilakukan.

Operasi pemadaman menggunakan dua aliran salur bantu mula dengan bekalan air daripada tangki jentera bomba.

Kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya dan pemeriksaan akhir dilakukan bagi memastikan tiada lagi bahaya atau bara api yang boleh mencetuskan kebakaran semula.

Operasi turut mendapat kerjasama daripada dua anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sri Aman.

Tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian tersebut.

Oleh Adi Safarman