Kebakaran belukar 0.6 hektar di Jalan Balau-Banting berjaya dipadam

Facebook
WhatsApp
KEBAKARAN belukar dan api gambut seluar 0.6 hektar di Jalan Balau-Banting di sini, semalam. Foto BBP Sri Aman

LINGGA: Pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman berjaya memadamkan kebakaran belukar dan api gambut di Jalan Balau-Banting di sini, semalam.

Menurut kenyataan BBP Sri Aman, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 1.38 petang, sebelum sepasukan anggota bersama jentera dikejarkan ke lokasi.

Setibanya di lokasi, pasukan operasi mendapati kebakaran benar-benar berlaku membabitkan kawasan belukar dan gambut dengan keluasan dianggarkan 0.6 hektar.

Operasi diketuai PBK II Abang Sarkawi Abang Shubeli, dengan kekuatan anggota serta aset membabitkan sebuah jentera bomba (FRT) dan sebuah kenderaan Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS).

Menurut laporan operasi, anggota bomba yang lengkap dengan Peralatan Perlindungan Diri (PPE) terlebih dahulu menjalankan penilaian keadaan sebelum tindakan pemadaman dimulakan.

Pemadaman dilakukan menggunakan dua aliran hos salur bantu mula, manakala pam GP 10/10 digunakan dengan sumber air terbuka dari parit bagi membolehkan bekalan air disalurkan secara relay pumping ke tangki jentera.

Tindakan pantas dan teratur pasukan bomba akhirnya berjaya memadamkan api serta asap sepenuhnya.

Operasi kemudian ditamatkan selepas kawasan kejadian dipastikan selamat dan tiada lagi tanda-tanda kebakaran aktif.

Oleh Adi Safarman