Pesta Saratok 2026 dan Krian Fest Nature Challenge kembali meriahkan Krian,Saratok

Facebook
WhatsApp
FRIDAY Belik semasa menghadiri dua mesyuarat yang diadakan di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Saratok, semalam. Foto ADUN Krian

SARATOK: Dua acara besar yang bakal menghimpunkan masyarakat setempat menerusi pelbagai aktiviti sukan, rekreasi, kebudayaan dan keusahawanan akan berlangsung di kawasan Krian dan Saratok pada Oktober ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik, berkata persiapan bagi Pesta Saratok 2026 dan Krian Fest Nature Challenge Edisi Ke-4 2026 kini diperkemaskan menerusi dua mesyuarat yang diadakan di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Saratok, semalam.

Menurutnya, Pesta Saratok 2026 akan berlangsung selama tiga hari, bermula 2 hingga 4 Oktober depan, dengan mengetengahkan lapan program tonggak yang dijangka menarik penyertaan masyarakat daripada pelbagai peringkat.

“Antara program utama ialah regata, badminton, e-Sukan, bola sepak VIP, gasing, Pertandingan Kugiran (Battle of the Band), Pesta Ria (Fun Fair) serta jualan dan pameran.

“Pelbagai pengisian ini bukan sahaja memberi ruang kepada masyarakat untuk berhibur dan beriadah, malah menjadi platform untuk mengeratkan hubungan serta menggalakkan penglibatan aktif komuniti,” katanya.

Sementara itu, Krian Fest Nature Challenge Edisi Ke-4 2026 pula akan berlangsung pada 24 dan 25 Oktober, dengan tiga program utama iaitu Nature Run di kawasan Lempa, pertandingan futsal antara Komuniti Majlis Ketua Kaum dan Ketua Masyarakat (KMKK) di Engkala, Krian serta pameran dan jualan.

Beliau berkata, program berkenaan turut diserikan dengan persembahan artis dan kebudayaan bagi menampilkan kepelbagaian budaya serta menceriakan suasana pesta.

Friday berkata, penganjuran kedua-dua acara itu memperlihatkan usaha berterusan kerajaan dalam memastikan masyarakat diberi peluang untuk terlibat secara langsung dalam program dan aktiviti yang dilaksanakan.

“Program berteraskan kemasyarakatan seperti ini amat penting kerana ia bukan sahaja menyediakan ruang riadah dan hiburan, tetapi turut memperkukuh semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat.

“Ia juga sejajar dengan hasrat Kerajaan Sarawak ke arah mewujudkan masyarakat yang lebih inklusif seperti yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030),” katanya.

Kedua-dua mesyuarat berkenaan dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Saratok, Muhammad Dino Amid.

Turut hadir ialah Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Kecil Nanga Budu Hatta Adenan, Ketua Polis Daerah Saratok DSP Mathew Manggie, ketua-ketua jabatan dan agensi, KMKK serta ahli jawatankuasa berkaitan.

Oleh Adi Safarman