ROBAN: Penduduk Rumah Panjang Andrew Laja, Sungai Menua, di sini bakal menikmati bekalan elektrik yang lebih stabil dan selamat apabila usaha menaik taraf talian perkhidmatan daripada satu fasa kepada tiga fasa akan dibawa untuk tindakan lanjut.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, perkara itu susulan lawatan siasatan dan tinjauan tapak yang dijalankan berikutan permohonan Tuai Rumah Andrew Laja bersama penduduk rumah panjang berkenaan.
Menurutnya, permohonan tersebut melibatkan penyediaan bekalan elektrik tiga fasa serta kerja-kerja pendawaian bagi dua bilik yang masih belum mendapat bekalan elektrik.
“Pihak kami juga dimaklumkan oleh Tuai Rumah Andrew bahawa pernah berlaku kebakaran di salah satu bilik akibat beban elektrik berlebihan (overloaded), memandangkan talian perkhidmatan yang disambungkan ke rumah panjang tersebut hanya menggunakan satu fasa.
“Justeru, perkara ini perlu diberi perhatian bagi memastikan aspek keselamatan serta keperluan bekalan elektrik penduduk dapat dipenuhi dengan lebih baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan dan siasatan tapak di Rumah Panjang Andrew Laja, Sungai Menua, Roban, kelmarin.
Mohamad Duri berkata, Pusat Khidmat ADUN Kalaka akan mengadakan sesi libat urus bersama pihak Sarawak Energy Berhad (SEB) dalam masa terdekat bagi membincangkan proses menaik taraf talian sambungan elektrik daripada satu fasa kepada tiga fasa.
Katanya, usaha berkenaan penting bukan sahaja bagi meningkatkan kestabilan bekalan elektrik, malah dapat membantu mengurangkan risiko berkaitan beban berlebihan pada sistem pendawaian rumah panjang.
Mohamad Duri turut merakamkan penghargaan kepada Tuai Rumah Cessus Clay dari Sungai Engkabang, Tuai Rumah Terence Plunga dari Atas dan Tuai Rumah Rimbu yang hadir serta berkongsi pengalaman berhubung penerimaan bantuan menaik taraf sistem pendawaian di rumah panjang masing-masing.
Perkongsian pengalaman tersebut, katanya, menjadi rujukan berguna dalam usaha memastikan penduduk rumah panjang di kawasan Kalaka turut menikmati kemudahan elektrik yang lebih selamat dan berkualiti.
Turut menyertai lawatan tersebut ialah Timbalan Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Kalaka, Kaunselor Kasdi Pandi; Setiausaha PBB Cawangan Kalaka, Gapor Ahmad; serta Pegawai Tadbir Menguasa Pejabat Daerah Kecil Roban, Steve Miller Nuas.
Oleh Adi Safarman




