Jerayawara MPKS perkukuh komunikasi bersama kepimpinan masyarakat

Facebook
WhatsApp
AMANAT…Pengerusi MPKS, Abang Ismawi Abang Ali ketika berucap pada Program Jerayawara MPKS bersama KMKK dan Ahli-Ahli Majlis Zon Muara Tuang di Dewan Suarah Samarahan. Foto MPKS

KOTA SAMARAHAN: Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) terus memperkukuhkan hubungan dan komunikasi dua hala dengan kepimpinan masyarakat menerusi Program Jerayawara bersama Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) serta Ahli-Ahli Majlis Zon Muara Tuang.

Program yang berlangsung di Dewan Suarah Samarahan pada 10 September itu menjadi platform bagi MPKS mendekati kepimpinan setempat, selain mendapatkan maklum balas secara langsung berhubung isu dan keperluan masyarakat.

Program berkenaan yang dihadiri Pengerusi MPKS, Abang Ismawi Abang Ali merupakan kesinambungan Program Jerayawara Zon Stakan yang diadakan pada 27 Ogos lalu.

KENANGAN…Abang Ismawi bersama tetamu kehormat yang lain serta para peserta Program Jerayawara MPKS Zon Muara Tuang merakam gambar kenangan di Dewan Suarah Samarahan. Foto MPKS

Seramai enam Ahli Majlis Zon Muara Tuang dan sekitar 58 KMKK menghadiri program berkenaan, selain Timbalan Pengerusi MPKS, Setiausaha Perbandaran, ketua-ketua bahagian serta kakitangan MPKS.

Antara perkara diberi perhatian ialah penerangan mengenai peranan, fungsi dan tanggungjawab MPKS, khususnya berkaitan perkhidmatan pungutan sampah, penyelenggaraan perparitan, pemotongan rumput serta pembersihan kawasan awam.

Sesi libat urus berkenaan turut memberi ruang kepada KMKK dan Ahli-Ahli Majlis menyuarakan isu, pandangan serta cadangan masyarakat mengenai kemudahan dan penyampaian perkhidmatan di kawasan masing-masing.

PANDANGAN…Ketua Kaum Kampung Entingan, Kadom Changgai menyampaikan pandangan ketika sesi libat urus Program Jerayawara MPKS Zon Muara Tuang di Dewan Suarah Samarahan. Foto MPKS

Pada masa sama, MPKS menekankan kepentingan peranan Ahli-Ahli Majlis dan KMKK sebagai penghubung antara pihak Majlis dengan masyarakat, termasuk dalam menyalurkan maklumat serta aduan berkaitan perkhidmatan kontraktor yang dilantik.

Sebarang ketidakpatuhan atau kegagalan kontraktor melaksanakan kerja mengikut skop dan standard ditetapkan akan diteliti, dengan tindakan sewajarnya diambil berdasarkan terma kontrak dan peraturan berkuat kuasa.

Pendekatan turun padang dan pelaksanaan jerayawara secara berterusan itu diharap dapat memastikan saluran komunikasi bersama masyarakat kekal terbuka, sekali gus meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan serta mewujudkan persekitaran yang bersih, selesa, selamat dan kondusif.

Turut hadir Penolong Pegawai Daerah, Hayati Sahari yang mewakili Pegawai Daerah Samarahan.