98 Biro Wanita, tiga JKKK terima RM309,000 peruntukan MRP

Facebook
WhatsApp
UNTUK ALBUM... Datuk Rosey Yunus merakamkan kenangan bersama penerima MRP pada majlis penyerahan MRP di Dewan Masyarakat Batu Niah hari ini.

BATU NIAH: Sebanyak 98 Biro Wanita dan tiga Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bekenu menerima peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM309,000.

Peruntukan berkenaan disampaikan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak,  Datuk Rosey Yunus pada majlis penyerahan MRP di Dewan Masyarakat Batu Niah, di sini hari ini.

Rosey yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu berkata, penubuhan Biro Wanita Sarawak di peringkat komuniti, termasuk kampung dan rumah panjang di bawah JKKK, menjadi platform penting dalam memperkasakan golongan wanita serta menggerakkan pembangunan dan kesejahteraan masyarakat akar umbi.

Katanya, antara fokus utama biro itu ialah pemerkasaan ekonomi keluarga, pembangunan kapasiti dan kemahiran wanita serta sokongan terhadap pentadbiran dan aktiviti kemasyarakatan JKKK.

“Melalui pemerkasaan ekonomi keluarga, Biro Wanita berperanan menggalakkan wanita menceburi bidang keusahawanan, perniagaan dan pertanian moden bagi membantu meningkatkan pendapatan isi rumah.

“Dalam pada itu, biro turut menyediakan ruang kepada wanita untuk memperkasa kemahiran peribadi, kepimpinan dan bakat tradisional seperti kraf tangan serta masakan, selain meningkatkan pengetahuan dalam pelbagai bidang,” katanya.

Beliau berkata, Biro Wanita turut berfungsi sebagai sayap sokongan kepada JKKK bagi membantu melancarkan pengurusan, urus tadbir dan penganjuran pelbagai aktiviti kemasyarakatan di peringkat kampung serta rumah panjang.

“Usaha ini penting bagi memastikan golongan wanita bukan sahaja menjadi penerima manfaat pembangunan, malah turut memainkan peranan aktif sebagai penggerak perubahan dan kesejahteraan komuniti,” katanya.

Hadir sama Pegawai Daerah Subis, Ashard Samshu; Pemanca Dr Ali Mudin; Penghulu Pui Kuan Phen; Penghulu Epat Bakar dan Penghulu Wan Fauzi serta tuai-tuai rumah dan ketua kampung DUN Bekenu.

Oleh Liong Chai Ling