KUCHING: Persoalan timbul sama ada kemudahan parkir sedia ada di Universiti Teknologi Swinburne Sarawak mencukupi untuk menampung jumlah pelajar yang semakin meningkat.
Pengarah Hal Ehwal Universiti DAPSY Sarawak, Arlena Wee Shi Ying berkata, masalah parkir di universiti berkenaan bukan perkara baharu dan telah wujud sebelum pelaksanaan pendidikan percuma.
Katanya, kebimbangan itu semakin ketara apabila seramai 6,484 pelajar berdaftar di Swinburne pada tahun ini.
“Berdasarkan maklumat parkir Swinburne, universiti itu kini mempunyai sekitar 700 petak parkir kereta dan 80 petak motosikal,” katanya dalam satu kenyataan.
Arlena mempersoalkan sama ada kapasiti parkir sedia ada mampu menampung jumlah pelajar di kampus berkenaan.
Katanya, kekurangan ruang parkir boleh menyebabkan pelajar terpaksa bersaing mendapatkan tempat, meletakkan kenderaan di kawasan berhampiran atau melakukan parkir berganda.
“Keadaan sedemikian boleh mencetuskan konflik yang tidak perlu serta meningkatkan risiko kemalangan, khususnya apabila pelajar mempunyai pilihan yang terhad,” katanya.
Arlena turut mempersoalkan sama ada universiti berkenaan benar-benar mempunyai kapasiti yang mencukupi untuk menampung jumlah pelajar yang diterima, sambil menegaskan bahawa sebarang peningkatan pengambilan pelajar perlu disertai penambahbaikan infrastruktur dan kemudahan asas.
Katanya, pelajar seharusnya dapat mengikuti pengajian dalam persekitaran yang mengutamakan keselamatan, keselesaan dan pengalaman pembelajaran mereka.
“Kebimbangan yang dibangkitkan bukan hanya berkaitan parkir. Kekurangan bilik kuliah, penginapan dan kemudahan asas lain merupakan antara petunjuk awal sama ada universiti itu cukup bersedia untuk memenuhi keperluan jumlah pelajar yang semakin meningkat,” katanya.
Arlena berkata, walaupun pendidikan percuma merupakan dasar yang mampu memberikan peluang lebih besar kepada rakyat Sarawak, peningkatan akses kepada pendidikan tinggi tidak seharusnya dijadikan satu-satunya ukuran kejayaan.
Beliau menegaskan pendidikan percuma tidak sepatutnya dilaksanakan dengan mengorbankan standard pendidikan, infrastruktur atau pengalaman pembelajaran pelajar.
“Jika infrastruktur, kemudahan dan sumber tidak mencukupi untuk menyokong jumlah pelajar yang semakin meningkat, hasilnya mungkin lebih ramai pelajar ditempatkan dalam sistem yang sudah tertekan dan bukannya peningkatan sebenar dalam kualiti pendidikan,” katanya.
Arlena menambah bahawa pertambahan jumlah pelajar di Sarawak tidak seharusnya dijadikan alasan untuk perancangan atau peruntukan sumber yang tidak mencukupi.
Katanya, sokongan terhadap sesuatu dasar tidak bermakna pelaksanaannya harus terlepas daripada penelitian.
“Walaupun sesuatu dasar benar-benar memberi manfaat kepada pelajar Sarawak, pelaksanaannya perlu terus dipantau bagi memastikan ia mempunyai sumber yang mencukupi, dilaksanakan dengan berkesan serta tertakluk kepada akauntabiliti yang bermakna,” katanya.
Beliau mengibaratkan pelaksanaan dasar seperti sebiji pai, yang bukan sahaja perlu kelihatan menarik di luar, tetapi juga mesti mempunyai kandungan, kualiti dan pemantauan yang mencukupi.




