KOTA SAMARAHAN: Tiga lelaki tempatan ditahan manakala 3.00 gram bahan disyaki dadah jenis ganja dirampas dalam Ops Bersepadu Cegah Jenayah yang dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Samarahan malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Samarahan Supt Mohd Irwan Hafiz Md Radzi berkata operasi itu dijalankan dari jam 8.00 malam hingga 12.00 tengah malam, melibatkan seramai 16 pegawai dan anggota polis.
Menurutnya, operasi menyasarkan beberapa lokasi tumpuan dan kawasan kawasan panas sekitar Kota Samarahan, termasuk pelaksanaan Sekatan Jalan Raya (SJR), rondaan cegah jenayah serta serbuan dan tangkapan.
“Sepanjang operasi, sebanyak 60 kenderaan dan 66 individu telah diperiksa, manakala lima saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik,” katanya.
Irwan Hafiz berkata polis turut menahan tiga lelaki tempatan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, selain merampas 3.00 gram bahan disyaki dadah jenis ganja.
Beliau berkata operasi bersepadu itu bertujuan mempertingkatkan usaha pencegahan jenayah dan membanteras penyalahgunaan dadah, selain memastikan keselamatan serta ketenteraman awam sentiasa terpelihara di Kota Samarahan.
“Polis akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan dan pencegahan jenayah secara bersepadu bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya.
Oleh Connie Chieng





