MPS melakar sejarah, 1,258 peserta cipta rekod MBOR

Facebook
WhatsApp
TAHNIAH…MPS menerima sijil pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) selepas berjaya mencatat rekod penyertaan terbanyak dalam acara menggaul mi kampua secara beramai-ramai dengan penyertaan 1,258 peserta sempena Festival Kebudayaan Borneo (BCF) 2026 di Dataran Tun Tuanku Bujang Fasa 1, semalam.

SIBU: Majlis Perbandaran Sibu (MPS) melakar sejarah apabila berjaya mencipta rekod baharu dalam Buku Rekod Malaysia (MBOR) menerusi penyertaan seramai 1,258 peserta dalam acara menggaul mi kampua secara beramai-ramai di Dataran Tun Tuanku Bujang Fasa 1, semalam.

Acara Penyertaan Terbanyak dalam ‘Menggaul Mi Kampua’ itu dianjurkan sempena Festival Kebudayaan Borneo (BCF) 2026, sekali gus mengangkat makanan ikonik Sibu ke pentas rekod kebangsaan.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Kaunselor Michelle Law berkata, jumlah penyertaan yang direkodkan itu melepasi sasaran awal sebanyak 1,000 peserta yang ditetapkan bagi membolehkan acara berkenaan mendapat pengiktirafan MBOR.

“Jujurnya, saya tidak menyangka kita dapat mencapainya kerana pada permulaan, sambutan agak dingin.

“Namun, dengan bantuan Gabungan Persatuan Cina (UCA) serta pempengaruh media sosial, kami berjaya menarik ramai peserta,” katanya kepada pemberita selepas acara berkenaan.

Kejayaan itu turut disaksikan Pengerusi MPS, Kaunselor Clarence Ting Ing Horh menerusi penyerahan sijil pengiktirafan oleh wakil MBOR, Edwin Yeoh kepada Michelle.

Menurut Michelle, daripada keseluruhan peserta, seramai 800 orang mendaftar secara dalam talian manakala selebihnya terdiri daripada peserta pendaftaran secara terus, wakil sektor swasta dan pelajar sekolah.

Katanya, antara institusi pendidikan yang mengambil bahagian termasuk Institut Methodist Pilley dan SM Wong Nai Siong dengan penyertaan seramai 68 peserta, selain syarikat tempatan seperti Mafrika dan Farley.

“Acara ini turut mendapat penyertaan antarabangsa termasuk kontinjen persembahan dari China dan Brunei, selain pelancong dari Perancis serta Amerika Syarikat,” katanya.

Michelle turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan acara berkenaan, khususnya peserta yang sabar menunggu dalam barisan serta komuniti setempat atas sokongan yang diberikan.

Katanya, penglibatan masyarakat daripada pelbagai latar belakang termasuk Cina, Dayak dan Melayu membuktikan semangat kebersamaan komuniti Sibu dalam menjayakan acara yang mengetengahkan identiti serta makanan tempatan.