KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Rais Yatim dilantik sebagai pengerusi baharu Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) berkuat kuasa 15 Julai lepas untuk tempoh tiga tahun.
Turut dilantik enam anggota baharu yang terdiri daripada empat senator dan dua Ahli Parlimen.
Mereka ialah Naib Presiden PAS Senator Idris Ahmad, Senator Ir Md Nasir Hashim, Senator Zaiedi Suhaili, Senator Raj Munni Sabu, Ahli Parlimen Bukit Bendera Wong Hon Wai dan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim.
Watikah pelantikan itu disampaikan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada majlis ringkas di Bangunan Parlimen di sini semalam.
Turut hadir Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Azam Baki
JKMR diwujudkan secara perundangan mengikut Seksyen 14 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694).
Ahli-ahlinya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong dalam kalangan ahli Dewan Negara dan Dewan Rakyat mewakili parti pemerintah dan pembangkang.
JKMR bertanggungjawab untuk menasihati perdana menteri mengenai apa-apa aspek masalah rasuah di Malaysia dan memeriksa laporan tahunan SPRM.
Jawatankuasa khas itu juga berperanan untuk memeriksa ulasan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah serta mendapatkan penjelasan dan penerangan mengenai laporan tahunan SPRM.
Bercakap kepada pemberita selepas itu, Rais berkata, dengan tanggungjawab yang diberikan jawatankuasa tersebut, beliau berazam akan melunaskan tanggungjawab sebaik mungkin demi negara tercinta.
— Bernama