KUCHING: Polis menahan 14 individu atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah menerusi Op Tapis Khas yang dijalankan selama tiga hari di sekitar Kuching dari 7 September hingga semalam.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu berkata, operasi itu dilaksanakan bagi membanteras aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah di daerah berkenaan.
“Daripada 14 individu yang ditahan, seorang ditahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, tiga individu di bawah Seksyen 12(2), manakala 10 lagi di bawah Seksyen 15(1)(a) akta sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, polis turut merampas 1.09 gram methamphetamine dan 569 gram ganja dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM1,720 sepanjang operasi berkenaan.
Alexson berkata, kejayaan operasi itu merupakan hasil risikan berterusan serta kerjasama orang awam dalam menyalurkan maklumat kepada pihak polis.

Beliau menegaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah
“Memiliki, mengedar atau melindungi aktiviti berkaitan dadah merupakan kesalahan serius di sisi undang-undang,” katanya.
Menurutnya, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) kekal komited dalam usaha memerangi penyalahgunaan dadah demi melindungi generasi masa kini dan akan datang.
“Dadah adalah musuh nombor satu negara,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan dadah boleh menghubungi hotline JSJN di talian 012-208 7222 atau hotline JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di talian 017-592 9211.
Oleh Connie Chieng





