RM200,000 bina Pusat Komuniti Cina Spaoh, kemudahan lebih selesa untuk masyarakat

Facebook
WhatsApp
SESI serah tapak mula projek yang berlangsung hari ini dihadiri wakil JKR Bahagian Betong; ketua kaum; wakil Pusat Khidmat ADUN N.37 Bukit Saban serta wakil kontraktor, Falah Legacy Global. Foto Douglas Uggah Embas Official

SPAOH: Komuniti Cina di Spaoh bakal menikmati sebuah pusat komuniti baharu yang lebih selesa dan teratur menerusi pembinaan Pusat Komuniti Cina Spaoh bernilai RM200,000 di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP).

Projek berkenaan dilaksanakan bagi memenuhi keperluan masyarakat Cina setempat, khususnya dalam mengendalikan urusan berkaitan kematian yang sebelum ini terpaksa dilakukan di bangunan lama serta ruang yang kurang sesuai.

Dengan terbinanya kemudahan baharu itu kelak, keluarga yang berdepan kehilangan anggota tersayang akan mempunyai ruang yang lebih selesa dan teratur untuk menguruskan jenazah serta urusan berkaitan.

Lebih daripada itu, pusat komuniti berkenaan turut boleh dimanfaatkan bagi pelbagai aktiviti kemasyarakatan, sekali gus menjadikannya sebagai kemudahan bersama yang memberi manfaat kepada komuniti setempat sepanjang tahun.

Sesi serah tapak mula projek yang berlangsung hari ini dihadiri wakil Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Betong; Pemanca Goh Leng Thong; Kapitan Jong Koi Chian; wakil Pusat Khidmat ADUN N.37 Bukit Saban serta wakil kontraktor, Falah Legacy Global.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata pembinaan pusat tersebut merupakan antara usaha kerajaan memenuhi keperluan khusus masyarakat Cina di Spaoh.

“Apabila berlaku kematian, keluarga memerlukan tempat yang sesuai untuk menguruskan pelbagai perkara berkaitan. 

“Sebelum ini mereka menggunakan ruang yang ada, jadi kita lihat keperluan untuk menyediakan tempat yang lebih selesa dan teratur,” katanya.

Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban, kemudahan itu juga tidak terhad kepada urusan berkaitan kematian, sebaliknya boleh dimanfaatkan bagi menggalakkan aktiviti kemasyarakatan.

“Kita mahu kemudahan yang dibina mempunyai kegunaan yang lebih luas. Selain urusan berkaitan kematian, pusat ini boleh menjadi tempat masyarakat berkumpul dan menjalankan aktiviti bersama,” katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis Daerah Betong, Kaunselor Peter Lai Ngit Sin, berkata kemudahan tersebut amat memberi manfaat kepada masyarakat Cina, khususnya golongan kurang berkemampuan.

“Pusat komuniti ini memang sangat membawa faedah kepada masyarakat Cina, khasnya golongan kurang berkemampuan. Mereka biasanya menggunakan pusat komuniti ini sebagai tempat untuk mengendalikan jenazah apabila berlaku kematian,” katanya.

Beliau berkata kemudahan baharu itu akan menyediakan ruang yang lebih baik dan sesuai kepada masyarakat dalam menguruskan urusan berkaitan kematian.

Pengerusi Persatuan Tiong Hua Spaoh, Walter Chang, turut menyambut baik pelaksanaan projek berkenaan serta merakamkan penghargaan kepada Datuk Amar Douglas Uggah dan Kerajaan Sarawak atas perhatian serta peruntukan yang disalurkan.

Projek yang dilaksanakan oleh Falah Legacy Global itu dijangka menjadi satu lagi kemudahan penting untuk komuniti Cina Spaoh, bukan sahaja dalam membantu urusan ketika berlaku kematian, malah sebagai ruang bagi memperkukuh hubungan serta aktiviti kemasyarakatan.

Pembinaan kemudahan berkenaan membuktikan usaha berterusan kerajaan memastikan keperluan asas dan sosial masyarakat di kawasan luar bandar terus diberi perhatian.

Oleh Adi Safarman