Lembaran baharu Yasin Sulaiman selepas dibebaskan

Facebook
WhatsApp
Yasin Sulaiman kini memulakan lembaran baharu selepas dibebaskan, dengan tekad kembali kepada keluarga dan meneruskan kerjaya seni. Foto fail BERNAMA

KUALA LUMPUR: Lebih empat tahun melalui kehidupan yang jauh berbeza berbanding dunia glamor sebagai anak seni, penyanyi dan komposer Yasin Sulaiman mengakui pengalaman berada di sebalik tirai besi antara episod paling sukar dalam hidupnya.

Pelantun lagu Mimpi Laila itu berkata tekanan yang dilaluinya pernah membuatkan dia merasakan kehidupannya sudah sampai  di penghujung, terutama ketika menerima keputusan yang mengubah perjalanan hidupnya secara drastik.

“Saya boleh rasa darah mengalir laju di kepala dan tekanan darah juga menjadi sangat tinggi. Sampai di lokap, saya hanya mampu berbaring kerana tidak mampu mengawal tekanan perasaan.

“Penjara bagi saya adalah tempat yang teruk, sangat kotor, ganas dan hina. Jadi, nasihat saya, janganlah masuk penjara kerana  tempat itu paling tidak menyeronokkan,” katanya ketika ditemui pada tayangan teater muzikal Mansur dan Liu arahan Datuk M. Nasir di Istana Budaya, malam tadi.

Kini kembali menghirup udara kebebasan, penyanyi berusia 51 tahun itu bersyukur kerana episod berkenaan sudah berakhir dan menganggap peluang kedua yang diterimanya sebagai ruang untuk kembali ke pangkuan keluarga serta meneruskan kerjaya seni.

Tidak mahu melupakan pengalaman itu, Yasin mengabadikan episod tersebut dalam autobiografi setebal 400 muka surat yang turut memuatkan perjalanan hidupnya, termasuk pengalaman berdepan isu kesihatan mental dan gangguan bipolar.

“Seminggu ini berlalu terlalu pantas kerana banyak perkara yang perlu diselesaikan dengan keluarga dan studio saya. Saya dibebaskan susulan Perintah Pembebasan yang ditandatangani Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan.

“Sepanjang berada dalam tahanan, saya banyak menghasilkan lagu baharu dan telah pun menyiapkan sebuah buku autobiografi 400 muka surat yang kini dalam fasa akhir pemilihan foto sebelum diterbitkan secepat mungkin,” katanya.

Yasin berkata autobiografi itu bukan sekadar berkongsi perjalanan hidupnya, tetapi turut diharapkan dapat memberi sokongan moral dan kesedaran kepada masyarakat, khususnya mereka yang berdepan masalah kesihatan mental.

“Saya mahu berkongsi kisah ini kerana ramai yang berdepan gangguan mental mula berasa hilang harapan apabila didiagnosis. Saya mahu menyampaikan mesej bahawa masih ada sinar harapan untuk pulih dan kembali membina kehidupan sekiranya mendapat rawatan yang betul,” katanya.

Dalam menyesuaikan diri dengan kehidupan baharu selepas dibebaskan, Yasin turut memberi perhatian terhadap kesihatannya dengan mematuhi dua syarat utama yang ditetapkan Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak, iaitu mengambil ubat secara berterusan sepanjang hayat dan tidak lagi terlibat dengan ganja.

Pada masa sama, keterujaannya untuk kembali ke dunia seni jelas terpancar apabila tayangan teater muzikal berkenaan menjadi antara peluang dia bertemu semula dengan rakan-rakan artis selepas sekian lama.

Mahkamah Rayuan pada April tahun lepas melepas dan membebaskan Yasin serta memerintahkannya kembali ditempatkan di Hospital Bahagia Ulu Kinta sehingga mendapat perkenan Sultan Selangor.

Keputusan itu mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan 16 sebatan terhadap Yasin selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan berkaitan dadah. – Bernama