Ular sawa batik 1.2 meter ceroboh reban ayam di Kampung Melayu Roban

Facebook
WhatsApp
KEHADIRAN seekor ular sawa batik sepanjang 1.2 meter di dalam sebuah reban ayam menggemparkan penduduk di Kampung Melayu Roban, pagi tadi. Foto APM Saratok

ROBAN: Kehadiran seekor ular sawa batik sepanjang 1.2 meter di dalam sebuah reban ayam menggemparkan penduduk di Kampung Melayu Roban, pagi tadi.

Ular berkenaan berjaya ditangkap Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Saratok dalam operasi yang dijalankan selepas menerima panggilan daripada orang awam pada 6.35 pagi.

Pegawai APM Daerah Saratok, Leftenan Nur Athirah Batu berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kelibat ular di dalam reban ayam milik seorang penduduk sebelum tiga anggota digerakkan ke lokasi.

Menurutnya, pasukan berkenaan bertolak pada 6.37 pagi dan tiba di lokasi kira-kira 26 kilometer dari Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Saratok pada 7.02 pagi.

“Setibanya di lokasi, anggota bertugas terlebih dahulu memakai kelengkapan perlindungan diri (PPE) sebelum menjalankan operasi menangkap ular.

“Selepas beberapa minit operasi dijalankan, ular sawa batik sepanjang kira-kira 1.2 meter itu berjaya ditangkap menggunakan teknik menyepit,” katanya dalam kenyataan berhubung operasi berkenaan.

Operasi yang melibatkan tiga anggota itu selesai pada 7.12 pagi dan berjalan lancar tanpa sebarang kejadian tidak diingini.

Ular berkenaan kemudian dimasukkan ke dalam kotak khas untuk tindakan lanjut pihak APM.

APM Saratok turut mengingatkan orang awam supaya tidak cuba menangkap atau menghampiri ular yang ditemui, sebaliknya segera menghubungi pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan diri dan orang sekeliling.

Oleh Adi Safarman