KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh mengesahkan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan akan bersidang pada 8.30 pagi esok.
Beliau berkata telah dipanggil untuk menghadiri mesyuarat berkenaan, namun enggan mengulas lanjut mengenai perkara yang akan dibincangkan.
Hannah menganggotai lembaga itu atas kapasiti Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan).
“Saya boleh sahkan esok 8.30 pagi ada mesyuarat pengampunan, kita telah dipanggil,” katanya kepada pemberita selepas Pelancaran Fasa Kelapan Program Mamogram Percuma Etiqa dengan Kerjasama Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia di sini hari ini.
Hadir sama Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Fadlun Mak Ujud.
Media sebelum ini melaporkan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan dijangka bersidang minggu ini dengan permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak antara perkara dibincangkan dalam mesyuarat itu.
Sementara itu dalam perkembangan lain, Hannah berkata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berjaya mengurangkan lokasi titik panas banjir termasuk banjir kilat di Kuala Lumpur kepada 14 kawasan daripada 30 kawasan, hasil langkah mitigasi.
Beliau berkata kawasan Segambut kini menjadi tumpuan utama usaha mitigasi banjir, termasuk pembinaan benteng banjir, kerja mendalamkan sungai dan pembersihan sungai yang akan dipertingkatkan menjelang musim hujan.
Hannah turut melancarkan Pusat Kawalan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Wilayah Persekutuan bagi membantu penyelarasan operasi bencana di Kuala Lumpur.
Beliau berkata pusat kawalan itu akan memperkukuh kerjasama antara APM dan DBKL dalam menyalurkan bantuan kepada golongan memerlukan ketika berdepan bencana.
DBKL juga diminta agar memastikan perkhidmatan asas seperti kerja pembersihan dan penyelenggaraan longkang dilaksanakan berterusan supaya Kuala Lumpur sentiasa bersedia menghadapi musim hujan.
Selain itu, Hannah berkata kementeriannya akan menyalurkan peruntukan RM30,000 kepada APM Wilayah Persekutuan bagi menjaga kebajikan anggota, termasuk pembelian makanan dan minuman ketika bertugas dalam situasi kecemasan hingga hujung tahun ini. – Bernama





