MIRI: Keluarga mendiang pembantu perubatan Alexson Adit Henry, 31, yang terkorban dalam nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang pada Selasa, masih menunggu keputusan bedah siasat sebelum menetapkan tarikh dan waktu penghormatan terakhir serta pengebumiannya.
Adik mendiang Annastasia Luyah Henry menerusi hantaran di laman Facebooknya berkata pihak keluarga, akan memaklumkan butiran lanjut mengenai urusan berkenaan sebaik sahaja keputusan bedah siasat diperoleh daripada pihak hospital.
“Mendiang akan dibawa ke kediamannya di Desa Senadin di sini, selepas selesai proses bedah siasat,” katanya mewakili isteri mendiang Stephanie Essah Incham serta seluruh ahli keluarganya.
Pada Selasa, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) memaklumkan sebuah helikopter BO-105 yang membawa lima individu termasuk juruterbang, terhempas berdekatan Long Lellang Short Take-Off and Landing Airport (STOLport).
Selain Alexson, mangsa lain yang terkorban ialah juruterbang Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30, pegawai perubatan Dr Ainul Baraah Kamaruddin, 33, serta dua jururawat Debra Moset, 40, dan Jessie Paya Jok, 44.- Bernama




