Dialog komuniti usaha wujudkan kejiranan lebih selamat, tangani isu setempat

Facebook
WhatsApp
SIDANG MEDIA… Dato Lo Khere Chiang bercakap pada sidang media program Libat Urus Komuniti Dan Dialog di Pusat Khidmat ADUN N.13 Batu Kitang, Kuching hari ini.

KUCHING: Penduduk Capital Garden dan kawasan kejiranan sekitarnya di sepanjang Jalan Penrissen Batu 4 berpeluang menyuarakan kebimbangan mereka secara langsung kepada agensi kerajaan dan pihak berkuasa tempatan menerusi dialog libat urus komuniti dan rondaan kejiranan, Sabtu ini.

Dipengerusikan oleh Dato Lo Khere Chiang, sesi berkenaan bertujuan memperkukuh kerjasama antara penduduk, pemimpin komuniti, agensi penguat kuasa dan penyedia perkhidmatan dalam menangani isu yang menjejaskan kawasan kejiranan.

Lo berkata, inisiatif itu bukan sekadar bertujuan mendengar aduan, sebaliknya menghimpunkan agensi berkaitan bersama penduduk bagi mencari penyelesaian praktikal di lapangan.

“Libat urus komuniti bukan sekadar mendengar masalah. Sebaliknya, ia melibatkan usaha menghimpunkan komuniti dan agensi berkaitan, memahami isu dari peringkat akar umbi serta bekerjasama untuk mencari penyelesaian,” katanya pada sidang media Program Libat Urus Komuniti Dan Dialog di Pusat Khidmat ADUN N.13 Batu Kitang, di sini, hari ini.

RAKAM KENANGAN… Dato Lo Khere Chiang bergambar kenangan bersama yang lain pada sidang media program Libat Urus Komuniti Dan Dialog di Pusat Khidmat ADUN N.13 Batu Kitang, Kuching hari ini.

Beliau berkata, komunikasi dan kerjasama yang kukuh amat penting bagi mewujudkan kawasan kejiranan yang lebih selamat, bersih dan selesa untuk didiami.

Dialog bertemakan Lebih Dekat dengan Rakyat, Kejiranan Lebih Selamat, Menyelesaikan Isu Rakyat’ itu akan menghimpunkan wakil Majlis Perbandaran Padawan (MPP), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Sarawak Water Sdn Bhd.

Antara isu yang dijangka dibangkitkan termasuk keselamatan komuniti dan inisiatif rondaan kejiranan, masalah perparitan dan banjir, isu jalan raya serta infrastruktur, gangguan bekalan air, kebersihan alam sekitar dan pengurusan sisa.

Lo berkata, komponen rondaan kejiranan amat penting kerana keselamatan komuniti tidak boleh dicapai menerusi usaha penguatkuasaan semata-mata.

“Penduduk juga mempunyai peranan penting dengan sentiasa berwaspada, saling mengambil berat serta mengekalkan komunikasi terbuka dengan pihak berkuasa,” katanya.

Dialog itu turut memberi peluang kepada agensi yang terlibat untuk memahami dengan lebih baik masalah yang dihadapi penduduk serta menyelaraskan tindakan susulan yang sewajarnya.

Penduduk Capital Garden dan kawasan sekitarnya di sepanjang Jalan Penrissen Batu 4 digalakkan menghadiri dialog berkenaan untuk berkongsi kebimbangan, cadangan dan maklum balas mereka.

Dialog tersebut akan diadakan pada 10.00 pagi, Sabtu ini di Choon Foh Kopitiam, No. 1, Jalan Penrissen, Capital Garden, Batu 4.5,

Untuk maklumat lanjut, penduduk boleh menghubungi Pengerusi Penganjur, Kaunselor Gerald Goh di talian 019-816 5368.

Oleh Connie Chieng