Polis Bau perhebat rondaan cegah jenayah

Facebook
WhatsApp
Polis Bau pastikan keselamatan penduduk menerusi rondaan di sekitar daerah itu.

BAU: Polis Bau mempergiatkan rondaan cegah jenayah secara berkala di beberapa kawasan dalam daerah ini sebagai sebahagian daripada usaha berterusan memastikan keselamatan serta ketenteraman awam terpelihara.

Ketua Polis Daerah Bau, Superintendan Mohd Haide A Rahman berkata, rondaan tersebut dilaksanakan sebagai langkah proaktif bagi mencegah kegiatan jenayah serta meningkatkan kehadiran polis dalam komuniti.

Rondaan meliputi beberapa kawasan tumpuan termasuk Bandar Bau, kawasan perumahan, pekan Jambusan dan kampung di sekitarnya.

Sepanjang rondaan, anggota polis turut menjalankan pemeriksaan terhadap beberapa individu dan kenderaan sebagai sebahagian daripada usaha pencegahan jenayah.

Mohd Haide berkata, kehadiran anggota polis secara berterusan di lapangan penting dalam mencegah jenayah serta meningkatkan rasa selamat dalam kalangan penduduk.

Beliau berkata, rondaan berkala turut membantu memperkukuhkan kerjasama dan hubungan antara polis dengan komuniti setempat.

Oleh Connie Chieng