KUCHING: Sarawak bakal mengetengahkan perkembangan teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI), semikonduktor, teknologi mendalam dan ekonomi angkasa menerusi Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak 2026 (IDECS26).
Menurut Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi, IDECS26 edisi kesembilan akan berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) dari 5 hingga 6 Oktober ini.
“Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg selaku Penaung IDECS26 dijadual merasmikan persidangan berkenaan dan menyampaikan ucapan pembukaan.
“Empat bidang utama yang diberi tumpuan ialah AI, semikonduktor, bakat digital dan ekonomi angkasa.
“Tumpuan itu selaras dengan usaha Sarawak meningkatkan keupayaan teknologi tempatan serta mengembangkan penglibatan negeri dalam industri berteknologi tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media IDECS 2026 di Menara Lembaga Pemegang Amanah dan Pembangunan Tanah (LCDA), hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata teknologi berkenaan turut mempunyai potensi untuk diaplikasikan dalam bidang penyambungan internet luar bandar, pemantauan alam sekitar dan hutan, pengurusan bencana serta perkhidmatan awam dan industri.
“Sarawak sudah membuat pelaburan secara berterusan untuk membangunkan asas ekonomi digital, termasuk dari segi kesalinghubungan, infrastruktur, bakat dan inovasi.
“Kini kita memasuki fasa seterusnya untuk memastikan teknologi yang dibangunkan mampu menghasilkan nilai ekonomi yang lebih besar kepada Sarawak.

“Sasaran kita adalah membina ekonomi bernilai RM282 bilion menjelang 2030 dan pendigitalan akan menjadi antara pemacu penting kepada pertumbuhan itu, termasuk meningkatkan produktiviti, menarik pelaburan bernilai tinggi serta mewujudkan sumber pertumbuhan ekonomi baharu,” jelasnya.
Tambahnya, Sarawak menyasarkan ekonomi digital menyumbang 20 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri menjelang 2030.
“IDECS25 sebelum ini merekodkan lebih 10,000 delegasi dan menghasilkan 22 perjanjian serta kerjasama strategik dalam bidang termasuk AI, kesalinghubungan dan bioekonomi.
“Pendaftaran IDECS26 kini dibuka dan kemasukan percuma disediakan kepada peserta yang layak,” ujarnya.
Untuk rekod, IDECS26 akan menampilkan lima trek utama iaitu The Future, Future Cities, Startup Village, SHE-TECH Asia Forum dan Centre of Excellence for Digital Economy (CoE).
Antara penceramah yang dijadualkan hadir ialah bekas angkasawan Agensi Penerokaan Aeroangkasa Jepun (JAXA) Dr Soichi Noguchi, Profesor Jason Pomeroy, futuris saintifik Dr Catherine Ball, pengasas AI Her Way Dr Nici Sweaney serta profesor di Universiti Sains dan Teknologi Hong Kong (HKUST) De Kai.
IDECS26 bertemakan “Memperkasa Ekosistem Inovasi untuk Ekonomi Tanpa Sempadan: Bumi, Orbit dan Melangkaui”.
Persidangan itu dianjurkan bersama oleh Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC), Pihak Berkuasa Multimedia Sarawak (SMA) dan Sarawak Information Systems (SAINS).
Oleh Masrin Affirah





