BETONG: Sebanyak 864 kotak air minuman diagihkan kepada lima rumah panjang yang terjejas akibat kemarau dalam operasi bantuan bekalan air bersih di sekitar kawasan Betong, semalam.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Betong, Kapten Mohammad Noor, berkata operasi berkenaan dilaksanakan bermula 8.00 pagi hingga 7.10 malam dengan penglibatan pelbagai agensi.
Beliau berkata operasi itu membabitkan anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Betong, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Kerja Raya (JKR) serta Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS).
“Pasukan bergerak ke RTC Layar pada 8.00 pagi sebelum proses pemuatan bekalan air minuman ke dalam kenderaan JKR dilakukan pada 9.23 pagi.
“Seterusnya, pergerakan penghantaran bantuan ke rumah panjang yang terjejas akibat kemarau bermula pada 10.21 pagi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, antara lokasi menerima bantuan ialah Rumah Panjang Gawis, Padeh yang menerima 68 kotak air minuman untuk keperluan 34 penduduk daripada sembilan ketua isi rumah (KIR).
Rumah Panjang Ajong, Ulu Padeh pula menerima 238 kotak air bagi menampung keperluan 119 penduduk daripada 26 KIR.
Bantuan turut disalurkan ke Rumah Panjang Nanga Penebak membabitkan 228 kotak air untuk 114 penduduk daripada 21 KIR, manakala Rumah Panjang Raba Tiput menerima 190 kotak bagi 95 penduduk daripada 17 KIR.
Sementara itu, Rumah Melabu Bair menerima 244 kotak air minuman untuk kegunaan 122 penduduk daripada 27 KIR.
Kapten Mohammad Noor berkata operasi berkenaan melibatkan kekuatan seorang pegawai dan tujuh anggota LLP APM Betong, seorang pegawai serta 20 anggota LLP ATM, tiga kakitangan JKR dan 14 anggota UKPS.
Katanya, operasi turut disokong aset logistik terdiri daripada sebuah LRV APM, sebuah lori tiga tan dan sebuah Toyota Hilux ATM, dua Toyota Hilux JKR serta dua kenderaan Isuzu D-Max UKPS.
“Pasukan tiba semula di RTC Layar pada 7.10 malam dan operasi penghantaran bantuan bekalan air akan disambung pada hari berikutnya bagi memastikan keperluan penduduk yang terjejas terus diberi perhatian,” katanya.
Oleh Adi Safarman





