MALUDAM: Kehadiran seekor ular sawa batik sepanjang kira-kira 1.8 meter dalam bonet sebuah kereta mengejutkan warga Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua Maludam, hari ini.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Debak, Leftenan Muda Mohd Hanif Abdul Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan daripada seorang guru pada 12.48 tengah hari yang memohon bantuan menangkap ular berkenaan.
Menurutnya, sepasukan tiga anggota APM Debak digerakkan ke lokasi pada 12.50 tengah hari bagi menjalankan operasi menangkap reptilia tersebut.
“Pasukan tiba di lokasi pada 1.50 petang selepas menempuh perjalanan sejauh 67 kilometer dari Pusat Kawalan Operasi Daerah Debak.

“Setibanya di lokasi, anggota Skuad Bravo terus menyediakan peralatan keselamatan sebelum menjalankan usaha menangkap ular yang dilaporkan berada di dalam bonet kereta pengadu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, operasi menangkap ular berkenaan dilakukan menggunakan peralatan khas termasuk penyepit dan penjerut ular bagi memastikan keselamatan anggota serta orang awam terjamin.
“Ular sawa batik berukuran kira-kira 1.8 meter itu berjaya ditangkap pada 1.59 petang menggunakan teknik menyepit dan menjerut, operasi selesai sepenuhnya pada 2.00 petang,” katanya.
Operasi itu melibatkan tiga anggota APM iaitu Prebet Andrian Sumok, Prebet Muhammad Adizan Mohidden dan Prebet Sakawie Salleh.
Pasukan turut menggunakan sebuah ambulans pacuan empat roda selain dilengkapi helmet keselamatan, sarung tangan APM, penyepit ular, penjerut ular dan kotak ular sepanjang operasi.
Kejayaan pasukan APM menangkap ular berkenaan memastikan keadaan kembali selamat serta mengelakkan sebarang risiko kepada warga sekolah dan orang awam di kawasan berkenaan.
Oleh Adi Safarman





