29 pelajar PISPA Politeknik Betong dalami ilmu sains kebakaran

Facebook
WhatsApp
KAPTEN (PA) Mohamad Noor memberikan taklimat mengenai sains kebakaran dan penggunaan alat pemadam api kepada pelajar PISPA di Politeknik Betong hari ini. Foto APM Betong

BETONG: Seramai 29 pelajar Pasukan Institusi Pertahanan Awam (PISPA) Politeknik Betong diberi pendedahan mengenai ilmu sains kebakaran serta penggunaan alat pemadam api menerusi satu sesi latihan yang diadakan di sini hari ini.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Betong, Kapten (PA) Mohamad Noor Ini, berkata latihan itu bertujuan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran pelajar dalam aspek keselamatan serta kesiapsiagaan menghadapi situasi kecemasan.

Menurutnya, latihan berkenaan melibatkan 11 pelajar lelaki dan 18 pelajar perempuan serta seorang guru penyelaras.

“Sesi latihan ini memberi fokus kepada sains kebakaran dan penggunaan alat pemadam api, termasuk pengetahuan asas mengenai kebakaran, faktor yang menyumbang kepada kejadian kebakaran serta kaedah penggunaan alat pemadam api dengan betul dan selamat,” katanya.

Latihan tersebut dikendalikan oleh Kapten (PA) Mohamad Noor Ini dengan dibantu oleh Prebet Nor Syafika Kamrul.

SERAMAI 29 pelajar PISPA Politeknik Betong diberi pendedahan mengenai ilmu sains kebakaran serta penggunaan alat pemadam api menerusi penganjuran satu sesi latihan hari ini. Foto APM Betong

Beliau berkata, pendedahan awal mengenai pengurusan kebakaran amat penting bagi memastikan anggota PISPA mampu bertindak secara tenang, pantas dan teratur sekiranya berdepan dengan situasi kecemasan.

“Pengetahuan ini bukan sahaja membantu pelajar memahami risiko kebakaran, malah memberi mereka keyakinan untuk mengambil tindakan awal yang bersesuaian sebelum bantuan kecemasan tiba,” katanya.

Sepanjang latihan berlangsung, semua aktiviti berjalan lancar, teratur dan selamat tanpa sebarang kemalangan atau kejadian tidak diingini.

APM Daerah Betong akan terus memperkukuh program latihan dan pendidikan kesiapsiagaan secara berterusan bagi melahirkan generasi muda yang lebih peka terhadap aspek keselamatan, pengurusan risiko serta tindakan awal ketika menghadapi kecemasan.

Oleh Adi Safarman