KABONG: Sebanyak 8,462 kotak air mineral disalurkan kepada penduduk di beberapa kawasan di Kabong yang terjejas akibat jerebu dan gangguan bekalan air.
Bantuan berkenaan disalurkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak sebagai usaha memastikan keperluan asas penduduk yang terkesan terus diberi perhatian, khususnya dalam situasi yang memerlukan tindakan segera.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir bersama isterinya, Datin Meryani Yassin, hadir menyaksikan penghantaran bantuan berkenaan.
Turut hadir Pemangku Pegawai Daerah Kabong Hamimi Kassim, wakil JKM Saratok Juhayati Dahlan serta beberapa ahli jawatankuasa Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Kabong.
Dalam penghantaran semalam, sebanyak 5,772 kotak air mineral diagihkan ke beberapa lokasi, termasuk Kampung Hulu Darat Sessang, Rumah Albert Beji di Sungai Padi A, Rumah Watson Plassu di Sungai Padi, Kampung Baru Kabong, Kampung Hulu Lintang Kabong, Kampung Wawasan Kabong, Kampung Metang Desa dan Kampung Sungai Muroh Kabong.
Sementara itu, sebanyak 2,690 kotak lagi dihantar hari ini ke dua lokasi di Gerigat, iaitu Kampung Darat Gerigat yang menerima 1,430 kotak dan Kampung Tepi Laut Gerigat sebanyak 1,260 kotak.

Menurut Chee Kadir, beliau sentiasa mengambil maklum keadaan dan keperluan penduduk, terutama berkaitan isu jerebu serta gangguan bekalan air yang memerlukan bantuan dan tindakan segera daripada pihak berkaitan.
“Saya sentiasa mengambil maklum keadaan dan keperluan penduduk. Terima kasih kepada JKM Sarawak dan semua pihak yang telah bersama-sama membantu dalam situasi ini,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada JKM Sarawak, khususnya JKM Saratok, serta semua pihak yang terlibat dalam memastikan bantuan berkenaan dapat disampaikan kepada penduduk yang memerlukan.
Katanya, bantuan tersebut diharap dapat meringankan beban penduduk yang berdepan kesukaran mendapatkan bekalan air bersih susulan gangguan bekalan air yang berlaku.
Kerjasama dan tindakan pantas semua pihak penting bagi memastikan kebajikan serta keperluan asas penduduk Kabong terus terpelihara, terutama ketika berdepan situasi yang menjejaskan kehidupan harian masyarakat setempat.
Oleh Adi Safarman





