KUCHING: Projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) 2026 bernilai RM35,000 bagi menaik taraf Taman Rekreasi Kampung Satria Jaya siap dilaksanakan dan diserahkan kepada Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa, Wilfred Yap menyaksikan penyerahan projek berkenaan di taman rekreasi yang terletak bertentangan BEM Satria Jaya.
Projek itu dilaksanakan bagi menambah baik kemudahan rekreasi dan persekitaran taman, sekali gus menyediakan ruang lebih selesa, kondusif serta selamat untuk kegunaan penduduk dan komuniti Satria Jaya menjalankan aktiviti riadah serta kemasyarakatan.
Penyerahan projek dilakukan kontraktor, Akih Company kepada Datuk Bandar MBKS, Dato Wee Hong Seng dengan disaksikan Yap dan pegawai MBKS.
Yap merakamkan penghargaan kepada MBKS atas kerjasama dan komitmen dalam memastikan projek berkenaan dapat disiapkan serta diserahkan untuk manfaat masyarakat setempat.
Menurutnya, usaha menaik taraf kemudahan masyarakat kekal sebagai antara keutamaan perkhidmatannya di Kota Sentosa.
Beliau berkata, ruang rekreasi yang diselenggara dengan baik dapat menyumbang kepada pembentukan komuniti yang lebih sihat, aktif dan erat.
Yap turut berkata, kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan terus memberi tumpuan kepada pembangunan dan penyampaian perkhidmatan di peringkat akar umbi dengan memastikan peruntukan yang disediakan diterjemahkan kepada penambahbaikan nyata untuk rakyat.
“Kami akan terus mendengar keperluan masyarakat, mengenal pasti penyelesaian praktikal dan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan berkaitan untuk melaksanakannya,” katanya.
Oleh Connie Chieng





