Tujuh anggota bomba tiba Long Lellang, tunggu pasukan forensik PDRM

Facebook
WhatsApp
TUJUH anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) MIRI kini berada di Long Lellang, Ulu Baram bagi membantu tindakan susulan nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS).

MIRI: Tujuh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) MIRI  kini berada di Long Lellang, Ulu Baram bagi membantu tindakan susulan nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS), dengan tumpuan awal kepada penilaian keadaan lokasi sebelum siasatan forensik dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) itu diketuai Pegawai Kanan Bomba (PgKB) II Rafie dan tiba di Lapangan Terbang Long Lellang pada 11.00 pagi hari ini selepas berlepas dari Lapangan Terbang Miri pada 10.45 pagi.

Setibanya di lokasi, pasukan berkenaan melaporkan diri kepada Pos Kawalan yang diketuai Ketua Polis Sarawak, Datuk Zainal Abidin, sebelum menjalankan penilaian awal keadaan tempat kejadian.

Pasukan turut melaksanakan kerja pemeriksaan susulan bagi memastikan tiada lagi bahagian atau kawasan yang berisiko serta membantu memastikan lokasi selamat untuk tindakan agensi berkaitan.

Pasukan forensik polis akan menjalankan siasatan di tempat kejadian bagi membantu menentukan keadaan sebenar insiden serta mengumpul bahan bukti berkaitan.

Sementara itu, kru udara JBPM akan kekal di Lapangan Terbang Long Lellang sehingga pasukan forensik polis selesai menjalankan siasatan di lokasi.

Kru udara JBPM dijangka kembali ke Miri selewat-lewatnya jam 4 petang hari ini, tertakluk kepada perkembangan operasi dan keadaan di lokasi.

Oleh Liong Chai Ling