22 bakal mahasiswa DUN Kalaka terima sumbangan pendidikan, pesakit turut dibantu

Facebook
WhatsApp
MOHAMAD Duri semasa menyampaikan sumbangan kepada 22 bakal mahasiswa dan juga beberapa orang pesakit yang memerlukan sokongan bagi menampung kos perjalanan mendapatkan rawatan. Foto ADUN Kalaka

SARATOK: Seramai 22 bakal mahasiswa dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka menerima sumbangan dan bantuan pendidikan bagi membantu membuat persiapan sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat universiti.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, bantuan berkenaan disalurkan kepada para pelajar tanpa mengira latar belakang bangsa dan agama.

Beliau berkata, kesempatan bertemu secara bersemuka dengan para bakal mahasiswa itu turut dimanfaatkan untuk berinteraksi serta berkongsi pandangan mengenai perjalanan mereka dalam menimba ilmu di peringkat pengajian tinggi.

“Alhamdulillah, saya berkesempatan untuk bertemu serta menyampaikan sumbangan dan bantuan kepada 22 bakal mahasiswa dalam kawasan DUN Kalaka yang akan melanjutkan pengajian ke peringkat universiti,” katanya.

Menurutnya, pendidikan merupakan antara asas penting dalam membentuk masa depan generasi muda. Justeru, beliau berharap para pelajar akan terus berusaha dan tidak mudah berputus asa dalam mengejar cita-cita.

Mohamad Duri berkata, beliau turut menitipkan nasihat kepada para pelajar supaya sentiasa tekun menimba ilmu, menjaga disiplin serta memanfaatkan peluang melanjutkan pengajian sebaik mungkin.

Dalam pada itu, Pusat Khidmat ADUN N.38 Kalaka turut memperluaskan bantuan kepada beberapa orang pesakit yang memerlukan sokongan bagi menampung kos perjalanan untuk mendapatkan rawatan.

Katanya, bantuan tambang berkenaan disalurkan kepada pesakit yang perlu mendapatkan rawatan di Hospital Sarikei, Sibu dan Kuching.

Beliau berharap sumbangan yang diberikan itu dapat membantu meringankan beban kewangan ibu bapa dan penjaga, selain memudahkan para pesakit mendapatkan rawatan yang diperlukan tanpa terbeban dengan kos perjalanan.

“Semoga sumbangan ini dapat sedikit sebanyak meringankan beban kewangan ibu bapa dan penjaga serta para pesakit yang perlu mendapatkan rawatan di Hospital Sarikei, Sibu dan Kuching,” katanya.

Oleh Adi Safarman