KUCHING: Majlis Perbandaran Padawan (MPP) dan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) menjalin kerjasama bagi melaksanakan projek penyelidikan berkaitan pemerkasaan komuniti menerusi pendidikan alam sekitar dalam usaha menangani masalah pembuangan sampah haram di kawasan Padawan.
Kerjasama itu dimeterai menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani Pengerusi MPP, Cr Tan Kai dan Ketua Pegawai Eksekutif Unimas Holdings Sdn Bhd, Syahrizan Junaini.
Tan berkata, inisiatif berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan MPP untuk mengurangkan kes pembuangan sampah haram, selain meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai pengurusan sisa isi rumah dan komersial secara bertanggungjawab.
“Mana-mana kawasan lapang tidak sepatutnya dijadikan tempat pembuangan sampah.
“Tabiat ini bukan sahaja memberi kesan kepada orang lain, tetapi juga kepada diri kita sendiri dan generasi akan datang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, kerjasama dengan Unimas menerusi penyelidikan berkenaan diharap dapat memberi impak positif dalam meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menjaga kebersihan persekitaran.
Selain itu, penyelidikan tersebut dijangka membantu meningkatkan kadar kitar semula serta menggalakkan penyertaan komuniti dalam aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan lapang.
Tan berharap kerjasama berkenaan dapat memperkukuh usaha menangani isu pembuangan sampah haram menerusi pendidikan alam sekitar dan penglibatan aktif masyarakat.
Oleh Connie Chieng





