Akses pedalaman buka potensi baharu sektor rekreasi, pelancongan Pakan

Facebook
WhatsApp
ADUN Pakan, Tan Sri William Mawan Ikom bergambar bersama yang lain di Sungai Lubok Embawang. Foto Pusat Khidmat Pakan

PAKAN: Usaha meningkatkan akses ke kawasan pedalaman bukan sahaja memenuhi keperluan asas penduduk, malah berpotensi membuka peluang baharu dalam sektor rekreasi dan pelancongan tempatan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan, Tan Sri William Mawan Ikom, berkata antara kawasan yang mempunyai potensi tersebut ialah Sungai Lubok Embawang di Rumah Bikas, yang kini lebih mudah dikunjungi selepas jalan menuju ke sungai itu dinaik taraf.

“Dengan siapnya jalan menuju ke sungai, Sungai Lubok Embawang kini sering dikunjungi penduduk sekitar kerana mempunyai kawasan sungai yang amat cantik untuk aktiviti santai.

“Kerja baik pulih jalan menuju Sungai Lubok Embawang dilaksanakan menerusi peruntukan RM70,000 di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP), sekali gus menyediakan akses yang lebih baik kepada penduduk ke kawasan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program perasmian jalan menuju ke sungai dan program santai di Rumah Bikas, semalam.

Katanya, Pakan mempunyai pelbagai khazanah alam semula jadi yang boleh diteroka sebagai lokasi rekreasi dan pelancongan sekiranya pembangunan dilakukan secara terancang.

Selain Sungai Lubok Embawang, beliau turut melihat kawasan Wong Kuji yang mempunyai tarikan air terjun sebagai satu lagi lokasi berpotensi untuk diketengahkan kepada penduduk tempatan dan pengunjung dari luar Pakan.

“Pembangunan lokasi sedemikian tidak seharusnya dilihat daripada aspek rekreasi semata-mata kerana kehadiran pengunjung turut berpotensi mewujudkan peluang ekonomi kepada komuniti setempat.

“Sekiranya lokasi-lokasi ini dapat dibangunkan dengan baik dan terancang, ia bukan sahaja menarik pengunjung, tetapi juga boleh memberi manfaat ekonomi kepada komuniti,” katanya.

Dalam pada itu, Mawan memberi jaminan akan terus memberi perhatian terhadap keperluan pembangunan di seluruh kawasan DUN Pakan, termasuk masyarakat yang tinggal di kawasan pedalaman dan hulu.

Beliau turut menghargai kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Bikas dan penduduk dalam menjayakan program tersebut.

Sementara itu, Tuai Rumah Bikas berkata, program tersebut bukan sahaja menyaksikan perasmian jalan menuju ke sungai, malah menjadi ruang untuk penduduk mengeratkan hubungan dengan kepimpinan setempat.

Katanya, penaiktarafan jalan tersebut memberi nilai tambah kepada Sungai Lubok Embawang dengan meningkatkan kemudahan akses, sekali gus menyediakan asas bagi mengembangkan potensi rekreasi berasaskan alam semula jadi di kawasan tersebut pada masa hadapan.

Oleh Earl Anek