Buruh ladang warga asing ditahan, syabu 10.83 gram dirampas

Facebook
WhatsApp
DITAHAN.....Suspek ditahan selepas dipercayai terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah di hadapan pondok kawasan ladang sawit Jalan Mukah-Selangau, semalam.

MUKAH: Seorang lelaki warga asing berusia 35 tahun ditahan selepas dipercayai terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah dalam serbuan di hadapan pondok kawasan ladang sawit Jalan Mukah-Selangau, semalam.

Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias berkata, suspek ditahan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah kira-kira 12.30 tengah hari.

Katanya, hasil pemeriksaan terhadap suspek menemukan sebuah kotak rokok di dalam poket seluarnya dan menemukan 10 keratan tiub straw plastik lutsinar dan satu paket plastik lutsinar berisi ketulan kristal dipercayai dadah jenis methamphetamine atau syabu di dalam kotak rokok berkenaan.

“Berat kasar dadah yang dirampas dianggarkan 10.83 gram dengan nilai sekitar RM540,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, suspek yang bekerja sebagai buruh ladang sawit kemudian dibawa bersama barang kes ke IPD Mukah untuk tindakan dan siasatan lanjut.

Katanya, keputusan ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 39A (1) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Selain itu, kertas siasatan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 turut dibuka kerana suspek tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah,” katanya.

Muhamad Rizal berkata, suspek direman selama dua hari sehingga 11 September ini bagi melengkapkan siasatan.

Beliau menegaskan IPD Mukah akan terus komited membanteras segala kegiatan penyalahgunaan dadah di daerah berkenaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah diminta menyalurkannya kepada polis dengan menghubungi talian hotline 084-871222 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.

Oleh Akun Giman