BINTANGOR: Sebanyak 48 pertubuhan di kawasan Meradong menerima geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM152,000 bagi memperkasa pelaksanaan program kemasyarakatan dan meningkatkan penglibatan komuniti dalam pembangunan setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing, berkata bantuan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk membantu pertubuhan, institusi dan komuniti melaksanakan program yang memberi manfaat kepada masyarakat.
“Geran khas berjumlah RM152,000 itu disalurkan kepada 48 pertubuhan bagi membantu menampung keperluan pelaksanaan aktiviti yang telah dirancang, termasuk program kemasyarakatan, pendidikan, kebajikan, pembangunan belia dan wanita, sukan serta aktiviti sosial dan komuniti.
“Ia bukan sekadar membantu membiayai aktiviti, malah penting dalam memperkukuh keupayaan pertubuhan di peringkat akar umbi untuk merancang dan melaksanakan program secara lebih teratur serta berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis penyerahan geran MRP kepada penerima di Dewan Masyarakat Tulai, semalam.


PENYERAHAN: Datuk Ding Kuong Hiing menyampaikan geran MRP kepada wakil pertubuhan penerima pada majlis penyerahan di Dewan Masyarakat Tulai, Meradong, semalam. Foto Pusat Khidmat Meradong
Katanya, selain menyokong keperluan semasa, MRP tersebut turut membantu memperkasa kapasiti pertubuhan dalam merancang dan melaksanakan program yang lebih berimpak.
“Semua penerima diharap dapat menggunakan geran yang disalurkan dengan sebaik-baiknya dan penuh tanggungjawab, khususnya bagi tujuan yang telah ditetapkan.
“Saya juga berharap agar bantuan tersebut dapat memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat serta menjadi pemangkin kepada lebih banyak aktiviti yang dapat memperkukuh semangat perpaduan, kerjasama dan kesejahteraan komuniti di kawasan Meradong,” katanya.
Tambahnya, kerjasama antara wakil rakyat, pertubuhan masyarakat, institusi pendidikan, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta komuniti setempat turut memainkan peranan penting dalam memastikan pembangunan Meradong dapat dilaksanakan secara menyeluruh.
Beliau berharap sokongan berterusan menerusi geran MRP dapat membantu setiap penerima memainkan peranan lebih aktif dalam memperkasa komuniti, selain menyumbang kepada pembangunan dan kesejahteraan masyarakat Meradong secara keseluruhannya.





