BINTANGOR: Seorang lelaki berusia 45 tahun ditahan selepas disyaki terlibat dalam kegiatan dadah menerusi Ops Tapis Khas yang dijalankan Pasukan Petugas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Meradong, semalam.
Ketua Polis Daerah (KPD) Meradong, DSP Tansli Mering berkata, suspek ditahan kira-kira 10.15 pagi sebelum dibawa ke IPD Meradong untuk tindakan lanjut.
“Saringan ujian air kencing terhadap suspek di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Meradong mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
“Berdasarkan semakan rekod lampau, dapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah bersabit jenayah dadah,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Menurut Tansli, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Jika disabitkan kesalahan akan didenda tidak lebih daripada RM5,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih daripada dua tahun.
“Pihak polis IPD Meradong memandang serius kesalahan dadah di kalangan masyarakat dan tidak berkompromi dengan masalah tersebut.
“Saya menyeru supaya masyarakat menyalurkan maklumat kepada pihak polis berkaitan kegiatan dadah di Daerah Meradong,” katanya.
Katanya, penyaluran maklumat daripada masyarakat penting bagi membantu polis mengesan dan mengambil tindakan terhadap kegiatan berkaitan dadah di daerah tersebut.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan dadah boleh menghubungi Balai Polis Bintangor menerusi talian 084-693222,” katanya lagi.
Oleh Earl Anek





