JULAU: Pengasingan kawasan menggunakan jentolak dan pembinaan laluan pemutus api antara kaedah yang digunakan bagi menangani kebakaran berulang di Tapak Pelupusan Sampah Bejawai, semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Mahmudin Narudin, berkata operasi hari ketiga itu dilaksanakan selepas masih terdapat asap serta kemungkinan bara api tersembunyi di dalam longgokan sampah yang berpotensi menyebabkan kebakaran merebak semula.
“Pasukan BBP Bintangor yang diketuai Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan (PBK) I Wan Azri Wan Adenan, bersama enam anggota bergerak ke lokasi pada 9.00 pagi selepas menerima panggilan kecemasan.
“Setibanya di lokasi, didapati masih terdapat asap dan kemungkinan terdapat bara api di dalam longgokan sampah yang berpotensi menyebabkan kebakaran merebak semula,” katanya ketika dihubungi.
Tambahnya, pemeriksaan awal mendapati kebakaran masih berlaku pada longgokan sampah sebelum operasi pemadaman dimulakan pada 9.55 pagi.
“Komander operasi mengarahkan anggota menggunakan pakaian perlindungan penuh serta membentangkan hos sepanjang 300 kaki dengan dua nozel menggunakan sumber air dari tangki jentera dan satu aliran sepanjang 1,500 kaki dari pili bomba ke tangki jentera bagi mengawal kemerebakan dan menjalankan kerja pemadaman kebakaran,” katanya.

Selain pemadaman menggunakan air, pasukan bomba turut melaksanakan pengasingan di kawasan terjejas dan lokasi yang dikenal pasti berisiko berlaku kebakaran dengan bantuan jentolak daripada Majlis Daerah Meradong dan Julau (MDMJ).
“Tindakan mengawal kemerebakan api turut dilakukan menggunakan teknik laluan pemutus api, manakala kerja pengasingan dilaksanakan dengan bantuan jentolak daripada MDMJ bagi membantu mengasingkan lokasi yang terjejas dan lokasi yang berpotensi terlibat dalam kebakaran.
“Operasi pemadaman turut dibantu pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan anggota Rela bagi memastikan kelancaran operasi serta mengawal lalu lintas sepanjang operasi,” katanya lagi.
Kebakaran berjaya dikawal pada 12.00 tengah hari sebelum kerja pemadaman diteruskan bagi menghapuskan bara api yang masih berpotensi mencetuskan kebakaran semula.
“Komander operasi membuat pemeriksaan semula secara menyeluruh bagi memastikan tiada lagi bara api yang tinggal di sekitar kawasan terlibat.
“Operasi ditamatkan pada 2.19 petang selepas pemeriksaan mendapati keadaan di lokasi benar-benar selamat dan tiada lagi bara api dikesan,” katanya.
Oleh Earl Anek





