KUCHING: Sebanyak 515 kenderaan pelbagai jenis diperiksa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak menerusi Ops Luxury dan Ops Gempur Kenderaan Perdagangan di sekitar bandar raya Kuching, semalam.
Operasi dilaksanakan oleh Unit Operasi JPJ Kuching menerusi penguatkuasaan secara rondaan, pemantauan dan statik.
Hasil pemeriksaan mendapati beberapa kesalahan, termasuk membawa muatan berlebihan, melanggar syarat permit LPKP, tidak memiliki Lesen Memandu Kenderaan Barangan (GDL) dan Lesen Memandu Kenderaan (CDL), selain pelbagai kesalahan teknikal kenderaan.


ANGGOTA JPJ Sarawak menjalankan pemeriksaan terhadap kenderaan dalam Ops Luxury dan Ops Gempur Kenderaan Perdagangan di sekitar bandar raya Kuching.
Dalam operasi itu, sebuah kenderaan mewah disita selepas didapati mempunyai Lesen Kenderaan Motor (LKM) yang telah tamat tempoh.
Sebuah lori turut disita selepas didapati dipandu oleh pemandu warga asing (PEWA).
JPJ Sarawak berkata, semua tindakan penguatkuasaan dan sitaan dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa.
Menurutnya, penguatkuasaan akan terus dipergiat bagi meningkatkan tahap pematuhan terhadap undang-undang jalan raya, khususnya dalam kalangan pengendali dan pemandu kenderaan perdagangan demi keselamatan semua pengguna jalan raya.





