SIBU: Pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh pemimpin masyarakat serta pegawai kerajaan menerusi program peningkatan profesionalisme perlu diterjemahkan kepada tindakan nyata bagi menambah baik penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan Dato Sri Wong Soon Koh berkata, program seumpama itu bukan sekadar memenuhi keperluan rutin, sebaliknya merupakan pelaburan penting dalam membangunkan kepimpinan akar umbi yang berkeupayaan dan boleh dipercayai.
“Jangkaan masyarakat terhadap perkhidmatan awam dan kepimpinan semakin tinggi, dengan rakyat menuntut perkhidmatan yang cekap, tadbir urus telus serta pemimpin yang benar-benar mendengar dan memahami kebimbangan mereka.
“Oleh itu, pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh melalui program ini mesti diterjemahkan kepada penambahbaikan sebenar dalam cara kita menyampaikan perkhidmatan kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibaca oleh Kaunselor Sean Wong Jiun Jieh pada majlis penutupan Program Peningkatan Profesionalisme Institusi Kampung dan Komuniti DUN N.53 Bawang Assan 2026 di Green EcoFarm di sini, hari ini.
Wong berkata, pemimpin masyarakat dan pegawai kerajaan juga perlu mempunyai pemahaman yang baik mengenai undang-undang, peraturan serta prosedur yang mengawal tugas masing-masing bagi memastikan tanggungjawab dilaksanakan secara adil, telus dan bertanggungjawab.
Katanya, niat yang baik sahaja tidak memadai sekiranya sesuatu tindakan tidak dilaksanakan mengikut peraturan dan prosedur ditetapkan.
“Peraturan tidak seharusnya dilihat sebagai halangan, sebaliknya sebagai panduan untuk memastikan setiap tindakan diambil dengan betul dan mengikut prosedur yang ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata, kerjasama antara pemimpin masyarakat, pegawai kerajaan dan agensi berkaitan juga penting bagi memastikan dasar kerajaan dapat dilaksanakan dengan berkesan di peringkat akar umbi.
Menurutnya, sebagai ADUN Bawang Assan, beliau melihat peranannya sebagai penyelaras dan pemudah cara antara pihak-pihak berkenaan dalam usaha memenuhi keperluan masyarakat.
Wong yang juga Naib Presiden Kanan Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Pengerusi PDP Bawang Assan berkata, kepelbagaian masyarakat di kawasan itu perlu dijadikan kekuatan untuk menyatukan komuniti dan bukan menjadi punca perpecahan.
“Tiada individu atau jabatan mampu menyelesaikan setiap masalah bersendirian. Kita perlu bekerja sebagai satu pasukan,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa kepimpinan bukan mengenai gelaran atau kedudukan, tetapi tanggungjawab untuk membawa perubahan dan meningkatkan kehidupan masyarakat yang diamanahkan kepada pemimpin.
“Setiap individu, sama ada pegawai kerajaan, pemimpin masyarakat atau ketua kampung, mempunyai peranan penting dalam menyumbang kepada pembangunan Bawang Assan.
“Setiap usaha, walaupun kecil, menyumbang kepada kebaikan dan kemajuan Bawang Assan,” katanya.
Wong berharap pengetahuan serta pengalaman yang diperoleh peserta program itu dapat diterjemahkan kepada tindakan konkrit demi meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.
“Pembangunan Bawang Assan adalah tanggungjawab kita bersama. Jika kita terus bersatu, saya yakin kita mampu membina kawasan yang lebih harmoni, maju dan makmur,” katanya.
Turut hadir Pegawai Tadbir Pejabat Residen Sibu Macgyver Boi dan Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Sibu Sylvia Lau Gin Si.
Oleh Tarani Lanting





