KUCHING: Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun dan merampas 569 gram dadah disyaki ganja bernilai sekitar RM1,600 di kawasan parkir sebuah apartmen di Jalan Stutong Baru, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu berkata suspek ditahan oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, IPD Kuching, sekitar 7.00 malam.
“Polis merampas 554 gram dadah disyaki ganja dan 15 gram bunga ganja daripada suspek,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis THC (tetrahydrocannabinol), manakala semakan mendapati dia tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Alexson berkata, suspek direman selama lima hari dari 9 hingga 13 September bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati atau penjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan,” katanya.
Beliau berkata, kejayaan tangkapan itu hasil risikan berterusan serta kerjasama orang awam dan menegaskan polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam pengedaran dadah.
“Memiliki, mengedar atau melindungi aktiviti dadah merupakan kesalahan serius di sisi undang-undang,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti dadah boleh menghubungi talian hotline Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di 012-208 7222 atau hotline JSJN IPK Sarawak di 017-592 9211.
Oleh Connie Chieng





